fbpx

Penduduk terperangkap banjir lega terima bantuan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Azhar Tengku Long (kiri) menerima bantuan makanan daripada Mohd. Azmir Damiri di Kampung Tok Kundur, Pasir Puteh hari ini.

PASIR PUTEH – Kira-kira 29 orang penduduk di Kampung Tasik Tok Kundur di sini mampu menarik nafas lega apabila pasukan penyelamat menghantar bekalan makanan selepas mereka terperangkap dalam banjir sedalam 1.5 meter yang melanda laluan masuk ke kampung sejak tiga hari lalu.

Seorang penduduk, Tuan Azhar Tengku Long, 46, berkata, selain banjir, arus air yang deras turut menyukarkan penduduk untuk keluar mendapatkan bekalan makanan.

Menurutnya, seramai tujuh keluarga tinggal di kampung itu hanya bergantung harap kepada sebuah sampan untuk berulang-alik ke bandar selain menghadapi masalah komunikasi selepas capaian internet terputus.

“Rumah kami tidak tenggelam, namun laluan utama masuk ke kampung sudah ditenggelami air manakala ada sesetengah persekitaran rumah sudah digenangi air sedalam 0.4 meter.

“Pada tahun lalu, penduduk kampung ini merupakan kumpulan pertama yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tasik Tok Kundur hari ini.

Sepasukan anggota penyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba Bomba dan Penyelamat Malaysia (JKDM), Pengurusan Pejabat Tanah dan Jajahan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan misi penghantaran bekalan makanan bermula jam 3 petang tadi.

Sepanjang lima kilometer perjalanan untuk menyampaikan bantuan ke kampung itu, laluan utama digenangi air sedalam 0.7 meter hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja.

Penyerahan bantuan itu diketuai oleh Pegawai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintenden Mohd. Azmir Damiri berkata, limpahan air Sungai Buaya Ikat menyebabkan perkampungan itu terkepung.

Menurutnya, keadaan semasa paras air sentiasa dipantau pasukan petugas untuk tindakan segera sekiranya rumah mereka ditenggelami air.

“Keputusan yang diambil oleh jawatankuasa banjir daerah untuk tidak memindahkan lagi penduduk setempat, namun perlu menghantar bantuan bekalan makanan yang mencukupi kepada mereka.

“PPS bagi daerah ini masih belum dibuka. Sekiranya dibuka, ia akan melibatkan 41 PPS yang patuh prosedur operasi standard (SOP) dan mengikut norma baharu bagi pencegahan Covid-19, ” katanya pada sidang akhbar di Kampung Tasik Tok Kundur di sini hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI