fbpx
DATUK AWIE

Awie minta peminat tunggu Februari 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBARAT sudah terang lagi bersuluh. Tahun 2020 sememangnya membuka terlalu banyak pintu cabaran buat semua pihak dari segenap lapisan di seluruh pelosok dunia. Semuanya, bahana Covid-19!

Turut terjejas antaranya perancangan konsert kumpulan legenda rock terkenal, Search bersama Datuk Awie yang kini sudah dua kali berdepan penundaan.

Biarpun begitu, mereka kembali bangkit dan bersemangat demi memastikan misi utama untuk meninggalkan momen manis kepada penonton akan berjaya dikotakan.

Konsert yang diberi penjenamaan semula sebagai Projek Bikin Wilayah 2021 itu bakal diadakan pada 13 Februari tahun depan dan Stadium Malawati, Shah Alam dipilih bagi memuatkan hampir 7,000 penonton.

Awie berharap hutangnya kepada peminat yang sudah membeli tiket akan dapat dilunaskan dengan sebuah konsert berskala mega pada tahun hadapan.

AWIE bersama kumpulan Search semasa sidang akhbar Konsert Cinta Buatan Malaysia pada September lalu. – MOHD FARIZWAN HASBULLAH

“Sudah dua kali konsert ini ditunda. Yang pertama pada 28 Mac dan keduanya pada 12 Disember ini. Pihak penganjur mengambil kira kes pandemik Covid-19 yang kian meningkat dan mereka putuskan untuk menganjakkan tarikh ke Februari depan.

“Penganjur mahu melunaskan hutang kepada penyokong Search dan saya sebagai penyanyi kena turut tunaikan janji.

“Sebenarnya pada tarikh sama, saya ada sebuah konsert solo di Sabah untuk dijayakan tetapi saya korbankan demi peminat Search di Semenanjung.

“Saya harap sangat semoga pandemik ini akan beransur pulih dan tarikh yang ditetapkan itu dapat dilaksanakan mengikut jadual. Saya dimaklumkan pembeli tiket Search masih setia dan sabar menunggu,” katanya.

Menurut Awie lagi, konsert itu juga akan diadakan mengikut ketetapan syarat prosedur operasi standard (SOP) seperti yang dihebahkan oleh kerajaan.

“Biarpun dewan tersebut boleh memuatkan 7,000 orang, tetapi penganjur terpaksa mengehadkan jumlah penonton kepada 2,500 sahaja.

“Kita akan memastikan semua penonton mematuhi SOP. Selain itu, alat pengukur suhu tubuh badan dan cecair pembasmi kuman akan disediakan sebelum penonton masuk ke dewan,” ujarnya lagi.

KONSERT Search X Awie yang diberi nama Konsert Apologia dan Cinta Buatan Malaysia sebelum ini gagal terlaksana akibat Covid-19.

Bercakap tentang sesi latihan untuk persembahan sekitar satu jam 45 minit tersebut, Awie dan Search dianggotai Fauzie di posisi bass, Kid (gitar), Din (gitar) dan Pae (dram) akan membawakan lagu-lagu daripada album Bikin Wilayah yang pernah dikeluarkan pada 1998.

“Bulan Februari pun sudah tidak lama sahaja lagi, jadi saya dan Search sudah memulakan sesi latihan awal.

“Yang pasti, seleksi lagu yang dimuatkan dalam album Bikin Wilayah akan diperdengarkan kepada penonton.

“Lagipun saya hanya membantu Search yang berniat mahu mengadakan sebuah konsert khusus buat peminat yang selama ini menjadi tulang belakang menghidupkan perjalanan karier seni mereka.

“Saya juga berharap Amy yang kini solo harap dapat membantu Search jika ada projek melibatkan konsert pada masa akan datang,” luahnya.

Untuk rekod, Amy membuat keputusan untuk keluar daripada Search yang dianggotai sejak 1981 pada Mac lalu.

Tiket-tiket Projek Bikin Wilayah anjuran Imaginex dan HS Shazlicious berharga RM99, RM199, RM299 dan RM399 (VIP) kini dibuka untuk jualan.

Setiap pembelian tiket VIP, penonton layak mendapat sehelai t-shirt, CD dan poster menerusi pembelian tiket VIP.

Layari laman sesawang www.ilassotickets.com atau 03-21706333 bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai konsert tersebut.

BIARPUN sudah masuk kali kedua ditunda, pertama pada Mac dan kedua pada Disember nanti, komitmen Awie (kiri sekali) untuk menjayakan konsert bersama kumpulan Search tidak pernah luntur.

POPULAR