fbpx

66 individu dikompaun 27 ditahan ketika leka berhibur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada pengunjung yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang Kuala Lumpur malam tadi.

PETALING JAYA – Seramai 66 individu dikenakan kompaun manakala 27 lagi ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat hiburan yang didapati beroperasi secara haram di Jalan Ampang, Kuala Lumpur malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, serbuan dilakukan oleh dua pasukan anggota dari JSJ Wangsa Maju dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hasil maklumat serta risikan yang dilakukan.

“Dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam itu, anggota bertugas telah menahan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis, seorang pekerja warganegara Bangladesh, 10 lelaki warganegara China, tujuh wanita warganegara China, enam wanita warganegara Vietnam dan masing-masing seorang wanita warganegara Korea serta Thailand.

“Seramai 66 pelanggan warga tempatan yang terdiri daripada 44 lelaki dan 22 wanita pula telah dikenakan kompaun selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, pihaknya turut merampas beberapa barangan seperti set audio, 11 botol minuman keras dan wang tunai berjumlah RM268.

“Semakan mendapati premis berkenaan beroperasi secara haram memandangkan tempoh sah lesen telah tamat pada Julai lalu dan dipercayai beroperasi secara tersembunyi sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa.

“Kesemua pengunjung tempatan yang ditahan dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) (2020),” katanya.

Jelas beliau, warga asing yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 39b Peraturan Imigresen, siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan dan Seksyen 32 Akta Kastam dan Eksais. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI