fbpx

Mayat mekanik ditemui terduduk di meja makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA PILAH – Seorang mekanik ditemui  meninggal dalam keadaan terduduk di meja makan dapur selain mayatnya berbau di rumahnya di Kampung Tengkek, Batu Kikir di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata , pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada rakan mekanik tersebut yang datang ke rumah mangsa kira-kira pukul 7 malam selepas beberapa hari dia gagal dihubungi.

“Sebaik tiba di rumah, rakannya mendapati kediaman tersebut berkunci dari dalam malah panggilannya turut tidak dijawab sebelum terhidu bau busuk dari dalam rumah.

” Pihak polis terpaksa memecah masuk kediaman itu dan menemui seorang lelaki berseluar jeans, tidak berbaju telah meninggal dunia di bahagian dapur dalam keadaan terduduk di meja makan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Amran, siasatan mendapati mekanik berusia 49 tahun itu dipercayai meninggal dunia lebih kurang dua hari berdasarkan mayat yang telah berbau.

“Tidak terdapat unsur perbuatan jenayah dalam kes ini, pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati barang berharga miliknya seperti duit dan dokumen penting juga berada di tempat kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung tetapi tidak pernah membuat rawatan di hospital sebaliknya hanya membeli ubat di kedai dan farmasi sahaja. ” katanya.

Tambah beliau,  mangsa sudah lima tahun tinggal bersendirian di rumah tersebut dan bekerja sebagai mekanik motosikal di bengkel yang terdapat di sebelah rumahnya.

“Mangsa merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik dan masih belum berkahwin.

” Mayatnya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah ,Kuala Pilah untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Amran berkata, setakat ini kes diklasifikan sebagai mati mengejut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI