fbpx
Antara suspek diberkas bersama rokok seludup.

5 ahli sindiket penyeludupan rokok diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Lima lelaki yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran rokok diberkas dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Cheras dan Kajang semalam.

Serbuan bermula pukul 4.30 hingga 6 petang oleh sepasukan polis dari Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis rokok seludup serta aset bernilai RM580,354.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, bertindak atas risikan dan maklumat pihaknya menahan dua lelaki di sebuah gerai sebelum merampas sejumlah rokok yang dipercayai untuk jualan di kawasan berkenaan.

Katanya, berpandukan maklumat daripada dua suspek itu, pihaknya menyerbu sebuah stor yang dijadikan tempat menyimpan barang larangan itu.

“Dalam serbuan itu kita menahan tiga lagi suspek yang terlibat dalam kegiatan haram itu selain merampas 445,040 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM321,927.

“Turut dirampas, tiga buah kenderaan, wang tunai RM7,997 serta enam telefon bimbit. Secara keseluruhan jumlah rampasan bernilai RM580,354,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, tangkapan dan rampasan itu berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Cheras dan Kajang.

“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

“Kita menyeru masyarakat untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang aktiviti menyalahi undang-undang agar kegiatan itu dapat dibanteras,” ujarnya. – K! ONLINE

POPULAR