fbpx

Adi harta paling berharga 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu Adithiyan, D Kalyani melihat pakaian baru dibeli untuk sambutan Deepavali yang tidak sempat dipakai mangsa di rumahnya di Taman Cempaka, Kampung Koh, Sitiawan.

LUMUT – “Saya orang miskin, Adi (J. Adithiyan) adalah harta paling berharga buat saya, tapi sekarang dah hilang,” kata M. Jegathisan, 39, bapa kepada seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang maut apabila tertusuk pisau, sehari sebelum sambutan Deepavali Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada malam Jumaat lalu, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tertusuk pisau di bahagian dada selepas terlanggar sepupunya yang memegang sebilah pisau.

Jegathisan berkata, Adithiyan yang dipanggil Adi dan berkongsi tarikh lahir dengannya iaitu 18 Februari, menjadi anak kesayangan dalam keluarga dan adik beradiknya kerana mendiang adalah cucu bongsu dalam keluarga.

“Adi juga suka selfie, jadi saya membelikannya sebuah telefon untuknya berbuat demikian tetapi sehari sebelum kejadian itu, dia memadam semua gambarnya seolah-olah tahu dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Cempaka, Kampung Koh dekat sini hari ini.

Jegathisan berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu selamat disemadikan di Krematorium Hindu di Sungai Wangi, Sitiawan, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Beliau juga berharap orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi terhadap kejadian itu dan mendoakan kebaikan terhadap keluarga mereka kerana kejadian itu adalah satu kemalangan dan bukan disengajakan.

Katanya, sejak kelmarin ramai yang datang ke rumahnya termasuk individu tidak dikenali sehingga waktu malam yang bertanyakan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, M. Puvaneswari, 43, berkata sepupu mangsa berusia 11 tahun sehingga kini masih trauma dengan kejadian tersebut.

Katanya, sehingga hari ini, kanak-kanak itu asyik menangis dan susah mahu tidur kerana akan teringat kejadian itu setiap kali cuba melelapkan mata.

“Sebaik Adi tertusuk pisau, dia (sepupu mangsa) beritahu saya, ‘mak cik, bukan saya buat, saya tidak tahu dia (mangsa) datang ke depan (rumah),” katanya.

Justeru, beliau berharap tiada mana-mana pihak yang menambah tekanan terhadap kanak-kanak itu dengan bertanya mengenai kejadian tersebut termasuk melalui kumpulan WhatsApp.

Puvaneswari berkata, seluruh keluarga masih bersedih dengan kehilangan Adithiya dan masih terbayang-bayang gelagat manjanya yang gemar berkongsi kegembiraan dengan ahli keluarga.

“Kami ada empat beradik dan tiga beradik tinggal di tiga rumah teres sebelah menyebelah di sini, jadi kami semua amat rapat dan Adi sudah anggap saya seperti ibu sendiri dan panggil saya ‘amoi amma’.

“Untuk sambutan Deepavali ini, saya belikan Adi empat pasang baju, tapi apakan daya dia tidak sempat memakainya,” katanya sebak.

Kosmo! hari ini melaporkan, keinginan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahuh untuk menikmati kari kambing sempena Deepavali tidak kesampaian selepas dia maut tertusuk pisau di Taman Cempaka, Kampung Koh dekat Sitiawan Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 10.20 malam itu, mangsa, J. Adithiyan yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik-beradik meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian dada. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI