fbpx

Agong berkenan dengar sesi taklimat persediaan banjir Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah (tengah) pada sesi taklimat berkenaan di Istana Abdulaziz, Kuantan hari ini.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Persembahan Taklimat Persediaan Menghadap Banjir Tahun 2020/2021 Bagi Negeri Pahang Darul Makmur di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, sesi taklimat menghadapi banjir itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

“Keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke sesi taklimat ini mencerminkan keprihatin Seri Paduka Baginda terhadap keselamatan rakyat Pahang dan kesiapsagaan jabatan-jabatan terbabit untuk menghadapi musim tengkujuh dan bencana banjir,” katanya di laman Facebook hari ini.

Turut berangkat, Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Hadir sama ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Salehhuddin Ishak dan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara Pahang, Mohd. Zairasyahli Shah Zakaria dan Pengarah Jabatan Meteorologi Pahang, Khairul Najib Ibrahim turut hadir ke sesi taklimat berkenaan.

Menurut Istana Negara, taklimat yang bermula pukul 10.30 pagi itu berlangsung selama hampir sejam dan ia disampaikan oleh Abd Jalil.

“Pada sesi taklimat ini, Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya aspek norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 menjadi keutamaan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Pahang.

“Seri Paduka Baginda turut bertitah semua masjid di Pahang untuk melaksanakan solat hajat dari masa ke semasa bagi memohon dijauhkan daripada sebarang bentuk ancaman dan supaya Pahang sentiasa dijauhkan daripada musibah,” katanya.

Tambahnya, Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada pentadbiran negeri termasuk agensi berkaitan atas persediaan lengkap dengan data terkini dalam taklimat tersebut.

“Seri Paduka Baginda juga menzahirkan keyakinan terhadap pentadbiran negeri untuk membuat persediaan menghadapi banjir dan mengingatkan semua pihak untuk bersama-sama memikul tanggungjawab meringankan kesusahan rakyat semasa musim tengkujuh,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI