fbpx

[VIDEO] Video tular cemar imej, polis cari ‘Eric Chia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saman yang diserahkan kepada 'Eric Chia'.

MELAKA – Polis negeri ini hari ini membuat laporan berhubung video tular dimuat naik pemilik akaun Facebook Eric Chia yang didakwa telah mengelirukan dan mencalarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Hasan Basri berkata, video berdurasi 30 saat itu tular sejak semalam dengan maklumat yang telah diputar belit sehingga mencetuskan kemarahan netizen terhadap PDRM.

Katanya, video tersebut memaparkan seorang pemandu lelaki mempertikaikan tindakan anggota polis yang mengeluarkan saman terhadapnya dalam sekatan jalan raya di Jalan Dato Md Zain di sini pada pukul 11.08 pagi semalam.

“Dalam kejadian itu, seorang sarjan telah menahan sebuah kereta jenis Hyundai Sonata dan mengeluarkan saman kepada pemandu atas kesalahan memandu sambil menggunakan telefon bimbit di tangan kiri.

“Kesalahan itu telah dilihat anggota pemerhati (OP) kira-kira 250 meter sebelum lokasi sekatan jalan raya (SJR) yang melaporkannya kepada sarjan berkenaan untuk diambil tindakan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Jelasnya, pemandu tersebut bagaimanapun menafikan kesalahan itu dan mendakwa telefon itu digunakan oleh penumpang wanita disebelahnya.

Ujarnya, semasa saman dikeluarkan, wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan terbabit telah merakam video kejadian.

“Ketika saman diserahkan, pemandu terbabit enggan menandatangani notis saman menyebabkan sarjan terbabit terpaksa mencatatkan ETT (Enggan Tanda Tangan) pada notis saman sebelum menyerahkannya kepada pemandu terbabit.

“Namun, pada pukul 7.17 malam, polis mendapati terdapat penularan video sarjan terbabit yang dipercayai disebarkan seorang lelaki yang menggunakan nama ‘Eric Chia’ di media sosial Facebook yang telah memutar belitkan kenyataan.

Hasan berkata, sehubungan itu, satu laporan polis dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Sekiranya wujud bukti berlakunya fitnah, siasatan juga akan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya merakam dan menyebarkan video yang boleh mengelirukan orang ramai atau berdepan tindakan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, video tersebut turut dikongsi dan ditonton lebih 21,000 pengguna Facebook menerusi pemilik akaun lain yang turut memperlekehkan nama baik dan integriti PDRM.  – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI