fbpx

Peniaga mengeluh bekalan daging lembu makin kurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG penternak melihat lembu yang semakin berkurangan di Georgetown semalam.

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Pembekal da­ging lembu hidup semakin bimbang dengan masalah yang dihadapi untuk membawa masuk haiwan ternakan itu dari negara luar susulan gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Ini menyebabkan mereka terpaksa ‘pusing’ hampir ke seluruh Semenanjung untuk mendapatkan stok lembu tempatan yang dikatakan semakin berkurangan sehingga 75 peratus kini.

Seorang pembekal dan penternak lembu yang mahu dikenali sebagai Wan, 38, berkata, ekoran masalah tersebut, dia terpaksa menanggung kenaikan harga bagi seekor lembu hidup sehingga

RM12.90 sekilogram (kg) berbanding awal tahun ini RM11 sekg iaitu dengan anggaran harga RM5,000 seekor.

“Urusan membawa bekalan lembu hidup ke Malaysia kini tergendala terma­suk stok makanan atau dedak yang diproses daripada buah kelapa sawit dari Kuala Lumpur dan Perak.

“Saya kini banyak bergantung kepada sumber lembu hidup dari Johor dan Pe­rak berbanding sebelum ini yang dibawa dari Thailand dan Australia.

“Kadar harga bagi seekor haiwan ternakan itu pula bergantung pada nilai mata wang semasa negara,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Wan memberitahu, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, bekalan lembu hidup dari Australia dibawa masuk menggunakan perkhidmatan kapal kargo manakala lembu dari Thailand di bawa menggunakan lori.

“Saya perlu memastikan stok bekalan lembu ini sentiasa ada untuk memenuhi permintaan pasaran setiap hari.

“Ia melibatkan pembekalan stok kepada lebih 50 peratus peniaga daging di Pulau Pinang dengan harga jualan daging lembu yang siap disembelih adalah RM27 sekilogram.

“Harga daging tidak menentu, tetapi saya belum menaikkan lagi harga daging sejak dua tahun lalu dan mengekalkan harga yang sama iaitu RM26.50 sekilogram. Saya tanggung semua kos kenaikan daripada peringkat pembekalan pertama.

“Namun Oktober lalu, saya terpaksa naikkan harga sebanyak 50 sen susulan kos yang ditanggung dan peniaga juga memahami apa yang berlaku kini,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Wan menjelaskan, sebanyak 40 tan kulit lembu yang ada ketika ini masih tidak dapat dieksport ke Thailand dan Indonesia susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kulit lembu diproses untuk menjadi bahan makanan dan barangan kulit. Permintaan terhadap dua barangan tersebut adalah sangat tinggi namun ke­rana penguatkuasaan penutupan sempadan, bekalan tersebut terpaksa dibiarkan begitu sahaja di kandang,” jelasnya.

Dia yang berpengalaman dalam bidang ternakan dan pembekalan haiwan ternakan selama 20 tahun memberitahu, kemungkinan akan berlaku lagi kenaikan harga daging lembu sehingga RM1 dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, seorang lagi penjual daging lembu yang mahu dikenali sebagai Rahmat, 56 berkata, biarpun berlaku kenaikan harga 50 sen di peringkat pembekal, namun dia tetap menjualnya pada harga sama iaitu RM36 bagi sekg isi daging lembu tempatan.

“Di peringkat peniaga memang ada rungutan tentang kenaikan 50 sen termasuk kekurangan pe­langgan akibat PKPB.

“Tetapi kami terpaksa menerima hakikat tersebut bagi tujuan meneruskan operasi perniagaan dan meneruskan kelangsungan hidup, “ ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI