PUTRAJAYA – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad dan pengurusan tertinggi kementerian hari ini mengadakan mesyuarat bersama dengan Naib-Naib Canselor Universiti Awam (UA) dan wakil Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).
Berhadapan dengan gelombang ketiga pandemik Covid-19 dengan peningkatan jumlah kes positif tinggi, Noraini berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memerlukan pendekatan yang berbeza.
Katanya, ini bagi memastikan penyampaian berkesan sama ada di peringkat universiti mahupun di kementerian sendiri.
“Dalam mesyuarat ini, banyak perkara telah dibincangkan antaranya mengenai pengurusan operasi UA semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Kesan perubahan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia terhadap kemasukan pelajar baharu tahun 2021 ke UA juga dibincangkan.
“Selain itu, turut dibincangkan ialah kemasukan pelajar secara fizikal ke UA, pelajar-pelajar berkeperluan yang perlu kembali ke kampus dan bantuan kepada pelajar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Noraini berkata, kementerian juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak-pihak yang berkaitan termasuk wakil-wakil pelajar dalam usaha mencari solusi terbaik isu-isu berbangkit.
“Keputusan berkaitan perkara ini haruslah berlandaskan kepada aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan semua pelajar, ahli akademik, staf universiti serta keseluruhan warga pengajian tinggi,” katanya. – K! ONLINE














