PETALING JAYA – Seramai 21 orang saksi telah dirakamkan percakapan mereka bagi membantu melengkapkan siasatan laporan mati mengejut (SDR) ke atas dua mangsa tragedi nahas helikopter terhempas pada 8 November lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepasukan polis dari Forensik Bukit Aman juga telah pergi ke hangar Lapangan Terbang Subang untuk membuat pemeriksaan lanjut ke atas bangkai helikopter yang terhempas.
“Orang ramai dinasihati agar tidak mengedarkan gambar serta video berkaitan insiden berkenaan (nahas helikopter) di media sosial bagi mengelakkan spekulasi dan komen yang tidak wajar serta mengganggu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini diseru untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya bagi membantu siasatan atau hubungi talian 03-4289 7343 dan 03-4289 7344 untuk menyalurkan maklumat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, dua buah helikoper yang dalam perjalanan ke Genting Sempah dari Lapangan Terbang Subang terhempas selepas dipercayai berlanggar sesama sendiri di udara mengakibatkan Mohamed Sabri Baharom (juruterbang) dan Mohd. Irfan Fikri Mohamed Rawi (penumpang) maut.
Dua lagi individu iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd., Datuk Ahmad Jauhari Yahya bersama penumpang Tan Chan Eian yang menaiki helikopter berasingan terselamat selepas berjaya melakukan pendaratan cemas. – K! ONLINE














