IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengarahkan The Banjaran Hotsprings Retreat, Tambun di sini ditutup buat sementara waktu susulan insiden tanah runtuh yang mengorbankan dua individu maut semalam.
Ahmad Faizal berkata, arahan penutupan tersebut dibuat serta-merta sehingga ke suatu tarikh yang belum ditetapkan.
“Selepas kejadian yang berlaku semalam, pengurusan pusat peranginan berkenaan diarahkan untuk menutup sementara operasi sehingga satu arahan lanjut daripada pihak berkuasa dikeluarkan.
“Dimaklumkan tetamu yang menginap di situ juga telah dipindahkan ke tempat lain atas faktor keselamatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Faizal turun meninjau sendiri lokasi kejadian bersama pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh.
Turut hadir dalam tinjauan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zolkafly Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Ahmad Faizal turut mengarahkan pemantauan dipertingkatkan ke atas semua cerun bukit batu kapur berisiko dengan serta-merta.
“Arahan telah dikeluarkan untuk pihak berkaitan memantau semua kawasan terutama berdekatan dengan bukit batu kapur berikutan hujan lebat luar biasa sejak beberapa hari ini,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan, hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan berlaku runtuhan tanah sehingga mengorbankan dua penginap di sebuah vila di The Banjaran Hotsprings Retreat, Tambun.
Mayat mangsa lelaki, Ooi Chee Wei, ditemui pasukan penyelamat pada pukul 9.15 pagi manakala seorang lagi mangsa iaitu wanita, Lee Tze Juin, 32, dijumpai lima minit kemudian. – K! ONLINE














