fbpx

Imej pelik, rezeki Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AINA ABDUL

PERTANDINGAN nyanyian berkonsepkan misteri, The Masked Singer Malaysia musim pertama telah pun melabuhkan tirainya pada Jumaat lalu.

Selepas lapan minggu menjadi tanda tanya penonton, akhirnya ‘rahsia’ yang dipegang erat setiap peserta untuk menyembunyikan identiti masing-masing di sebalik kostum terungkai.

Pertandingan yang dimenangi si ‘Bunga Raya’ itu memperlihatkan penyanyi bersuara hebat, Aina Abdul merangkul gelaran juara.

Biarpun menyanyi sambil menyembunyikan identiti di sebalik kostum, namun rata-rata penonton sebenarnya sudah boleh meneka pemilik suara merdu si bunga itu berdasarkan beberapa stail nyanyian yang begitu sinonim dengan Aina.

BIARPUN sering tampil dengan gaya pelik ketika membuat persembahan, Aina mengakui dia selesa dengan imej sebegitu.

Aina selayaknya menang kerana bakat dan kesungguhannya sepanjang pertandingan tersebut.

Biarpun telah dijulang sebagai juara, Aina tetap merendah diri malah tidak menyangka akan memenangi pertandingan tersebut.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang kerana setiap peserta mempunyai kehebatan tersendiri.

“Yang pasti, saya cuma meletakkan sasaran untuk berjaya ke peringkat akhir kerana tujuan utama saya mahu menonjolkan sisi berbeza Aina Abdul memandangkan saya seorang yang pemalu,” katanya.

Sepanjang dua bulan dalam pertandingan The Masked Singer, Aina mengakui ‘terbeban’ kerana perlu menutup mulut daripada semua pihak tentang penglibatannya ekoran terikat kontrak.

Apa jua yang berlaku kemenangan sudah dalam tangannya dan Aina yang dipuja menerusi Sumpah tidak lama dahulu kian berkembang menjadi bunga di halaman muzik tempatan. Kelopaknya ialah bakat dan vokalnya menjadiu haruman buat seluruh peminat.

Sebelum popular seperti hari ini, Aina pernah mengharumkan nama Malaysia selepas merangkul kemenangan di World Championships of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat bagi kategori Vocalist of The World.

Biarpun memiliki kemampuan vokal yang hebat, awalnya kehadiran Aina lambat diperhatikan. Ramai yang sayangkan bakat Aina, namun ramai juga yang mengutuk kehadiran penyanyi itu, semuanya gara-gara paras rupa dan penampilannya.

Gaya dan penampilan Aina sering menjadi perhatian netizen. Bukan tidak ada yang memuji, namun yang mengeji itu lebih menyerlah.

SEBAGAI penyanyi yang dianggap masih baharu dalam industri, Aina mengakui mempunyai kekangan kewangan lantaran sukar untuk mendapatkan tajaan.

Imej pelik

Pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani berkata, rupa dan penampilannya memang telah lama diperkatakan netizen sejak dia mula bergelar artis.

Akuinya, dia pernah hilang keyakinan diri kerana kerap dilabel sebagai ‘buruk’ tanpa memikirkan hati dan perasaannya.

Menelan kata-kata orang sebagai bara semangat, Aina sebenarnya berasa selesa dan masih mengekalkan imej menutup aurat.

“Apa yang saya pakai, bersesuaian dengan majlis yang yang dihadiri. Saya sebenarnya seorang yang simple dan hampir setiap hari memakai pakaian berwarna hitam.

“Namun, kalau saya menghadiri majlis, saya tampilkan yang sehabis baik daripada segi penampilan sebab di situ sahaja saya boleh bereksperimentasi.

“Saya bukan seorang pandai berfesyen terutama melibatkan permainan warna pakaian,” ujarnya.

Tanpa berselindung, penyanyi yang turut bergelar guru vokal itu sering menjadikan selebriti antarabangsa iaitu Lady Gaga sebagai rujukannya dalam berfesyen, namun masih mengikut kesesuaian diri.

“Saya tidak boleh pakai pakaian ketat sebab bentuk tubuh agak berisi.

“Jurugaya pun sudah faham dan corak fesyen yang boleh menutup kelemahan dan menonjolkan kelebihan saya,” ujarnya.

KEMENANGAN Aina Abdul dalam pertandingan The Masked Singer Malaysia musim pertama meletakkan dia antara penyanyi hebat yang ada di tanah air.

Maybe, Kelip-Kelip

Selepas kejayaan lagu Sumpah melekat di hati pendengar, Aina juga telah melancarkan sebuah lagi single berjudul

Semalam ciptaan sendiri sepenuhnya, Semalam sekali lagi berjaya menambat halwa telinga peminatnya.

Selang lima bulan kemudian, Aina sekali lagi tampil dengan dua buah lagu berjudul Maybe dan Kelip-Kelip, namun entah di mana silapnya, kedua-dua lagu berkenaan kurang memperlihatkan impak.

Sudah menjadi lumrah, ada sahaja isu sengaja dibangkitkan netizen. Timbul juga kritikan mengatakan Aina sengaja merosakkan bahasa kerana penggunaan bahasa rojak dalam lagu tersebut.

Sejak awal lagi, Aina cukup sedar tentang perkara tersebut. Bagaimanapun, sebagai penulis lagu, dia tidak merasakan perkara tersebut telah melanggar etika.

“Saya rasa semua penulis lagu akan mencuba sesuatu yang baharu dan ingin tahu yang akan orang perkatakan tentang karyanya.

“Berhubung penggunaan bahasa bercampur-campur itu, saya faham ada pihak yang sensitif. Tambahan pula, ibu saya sendiri merupakan seorang guru subjek Bahasa Melayu.

“Saya cuma bereksperimentasi dalam karya. Lagi pun isu ‘lagu rojak’ bukan perkara baharu dan ada beberapa artis lain yang pernah menghasilkan lagu sedemikian,” katanya.

AINA sentiasa bersyukur kerana masih dikelilingi pasukan yang kuat menyokong kerjayanya daripada belakang.

Kewangan

Namun, pujian seharusnya diberikan terhadap penghasilan video muzik Maybe yang digabungkan bersama lagu Kelip-Kelip.

Penonton mungkin keliru apabila Aina tampil dengan kelainan menggabungkan kedua-dua buah lagu dalam sebuah video muzik.

Secara peribadi, Aina sendiri berpuas hati dengan hasil video berkenaan meskipun mengakui berdepan pelbagai kekangan sepanjang pembikinan.

Dakwa Aina, tarafnya yang masih ‘hijau’ dalam industri adakalanya menyukarkan pasukan mendapatkan tajaan bagi melancarkan sesebuah projek.

Justeru, Aina terpaksa mengeluarkan modal sendiri berjumlah hampir RM20,000 untuk pembikinan muzik video Maybe dan Kelip-Kelip.

“Secara jujur Aina memang bersusah payah daripada segi kewangan. Kos yang Aina dikeluarkan bukan sedikit. Saya kumpul duit sejak zaman Sumpah lagi,” katanya.

Sebelum mengakhiri tahun 2020, Aina berharap selepas ini tidak ada lagi suara yang mengkritik imejnya dan dapat menerima baik setiap karya yang dipersembahkan.

“Berilah peluang kepada saya menjadi siapa Aina Abdul yang sebaik-baiknya,” katanya yang kini sedang meneruskan saingan dalam pertandingan Vokal Mania.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI