fbpx

Enam delegasi Mapim Malaysia ikuti misi khas kemanusian di Turki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Sani (tiga dari kanan) bersama enam ahli delegasi yang berangkat ke Turki semalam bagi menjayakan misi khas kemanusiaan.

SEPANG – Seramai enam ahli delegasi dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berangkat ke Turki bagi melaksanakan misi khas kemanusiaan.

Misi Mapim itu bagi memenuhi permintaan dari Agensi Wakaf Kerajaan Turki untuk menguruskan 30 kontena yang terbengkalai di gudang sejak isu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Dr. Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata, melalui misi kemanusiaan itu, semua bantuan akan digerakkan semula beserta fasiliti kemudahan khususnya melibatkan perubatan dan bantuan kecemasan.

Beliau yang juga ketua delegasi berkata, kontena itu mengandungi 20,000 selimut musim sejuk, makanan, ubat-ubatan, alat pemanas, ambulans wakaf dan baju sejuk.

“Misi kemanusian kali ini adalah misi yang penuh cabaran dan memerlukan disiplin yang tinggi kerana semua delegasi perlu mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Turki.

“Dengan pengalaman urus bencana sepanjang PKP sebagai anggota bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, delegasi lebih berhati-hati dalam melaksanakan misi kali ini,”katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua delegasi yang menyertai misi itu disahkan bebas Covid-19 menerusi ujian saringan yang diwajibkan oleh pihak Mapim kepada ahli misi.

“Dijangkakan delegasi akan berada di Turki selama tiga bulan dan akan menjalani sesi kuarantin 14 hari selepas sampai ke tanah air nanti.

“Secara peribadinya, ini pertama kali Mapim Malaysia melaksanakan pelbagai misi dalam dan luar negara yang terdiri daripada negara Syria, Lebanon, Palestin, Afrika dan Indonesia secara serentak dan berkeperluan tinggi.

Pada masa sama, katanya, Mapim Malaysia menerusi kerjasama rasmi antara Agensi Wakaf Kerajaan Turki juga bakal merasmikan sebuah bandar wakaf seluas 56 ekar yang bakal dihuni oleh 1,000 keluarga pelarian yang kehilangan rumah akibat perang sejak tujuh tahun lalu.

Beliau yang bertindak sebagai pengasas Agensi Wakaf Kerajaan Turki bagi pembinaan bandar ‘Malaysia Wakaf City For Syrian Refugees’ di Syria, berkata, tahap pembinaan bandar itu berada pada fasa pertama yang melibatkan 1,000 rumah.

“Selain rumah, empat buah sekolah akan turut didirikan beserta klinik, masjid dan juga ‘Malaysia Central Kitchen’,” katanya.

Katanya, Mapim Malaysia optimis dengan sokongan berterusan dan padu daripada penyumbang dari seluruh pelusuk negara untuk menjayakan semua hajat untuk membantu masyarakat.

“Tibalah masanya kita bersatu dalam ujian besar dan kita lakukan terbaik untuk ummah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Mapim Malaysia juga akan menggandakan usaha besar-besaran dengan menyasarkan bantuan khas ke Sabah dan negeri-negeri Semenanjung dalam masa terdekat.

“Kita tidak punya pilihan selain dari menyampaikan apa sahaja bantuan mengikut perancangan semasa ke semasa untuk mereka yang terkesan sama ada dalam negara mahupun luar negara,” katanya.

Mereka yang berhajat untuk menjadi sebahagian daripada Misi Kemanusian Mapim Malaysia ini boleh menghulurkan sumbangan menerusi www.rayuansyria.com atau Maybank (Syria Emergency Appeal) dengan nombor akaun 5628-3463-6987 atau hubungi 1300-888-038.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI