fbpx

Dua beradik hilang, kenderaan bapa hanyut arus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kenderaan pacuan empat roda dinaiki dua beradik yang dikhuatiri hilang selepas kereta dipandu bapa dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Sungai Liawan, Kampung Dangulad tengah malam tadi. - Foto IHSAN BOMBA

KENINGAU – Dua beradik dikhuatiri hilang selepas kenderaan dinaiki bersama bapa dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Sungai Liawan, Kampung Dangulad tengah malam tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 12 tengah malam itu, kedua-dua mangsa iaitu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan perempuan berusia empat tahun dipercayai menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu bapa difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka.

Air sungai dipercayai naik dan arus sungai menjadi deras secara mendadak sewaktu kenderaan dinaiki mangsa melalui jambatan konkrit di Kampung Dangulad hingga menghanyutkan kenderaan mangsa.

Bagaimanapun, bapa mangsa yang juga pemandu pacuan empat roda terbabit berjaya keluar dari kenderaan namun dua anaknya dihanyutkan bersama kenderaan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Mudi Pengiran berkata, pihaknya yang menerima panggilan pada pukul 12.08 tangah malam bergegas ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Mudi berkata, ketika menerima panggilan itu, pasukan bomba baru sahaja selesai menjalankan operasi kejadian limpahan di Sungai Pampang, hingga menyebabkan dua rumah yang terletak berhampiran tebing hanyut manakala lima rumah terjejas selepas dimasuki air dan lumpur.

“Kita berjaya menemui kenderaan dinaiki mangsa tidak jauh dari lokasi kejadian namun mangsa belum ditemui.

“Operasi SAR kemudian ditangguh jam 1.30 pagi dan akan disambung semula,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian di Sungai Pampang, Mudi berkata, kejadian itu dipercayai berlaku akibat limpahan air daripada bukit susulan hujan yang berlaku di kawasan bukit berkenaan.

“Setakat ini, dua rumah dihanyutkan manakala lima terjejas tetapi semua penghuni selamat berikutan berjaya keluar daripada rumah masing-masing.

” Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan air mula surut pukul 11 malam tadi,” katanya.

Detika kejadian itu, keadaan cuaca dikatakan baik sebelum kejadian air sungai Kampung Pampang naik mendadak secara tiba-tiba.

Penduduk kampung yang menyedari kejadian limpahan air sungai itu bergegas keluar untuk menyelamatkan diri.

Difahamkan, Sungai Pampang adalah antara sungai yang terbabit dalam kejadian ribut tropika Greg yang berlaku pada 1996 hingga mengorbankan banyak nyawa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI