fbpx
SEORANG penduduk, Azizah Saari, 58, menunjukkan telaga tujuh yang penuh misteri sehingga ke hari ini kerana dikatakan airnya tidak pernah kering walaupun ketika musim kemarau, selain dikaitkan dengan cerita alam ghaib.

Misteri telaga tujuh milik hantu pari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGERI Kedah sememangnya mempunyai banyak tempat atau lokasi yang didakwa mempunyai cerita-cerita mistik yang boleh mengundang bulu roma meremang apabila mendengar cerita sedemikian.
Salah satu cerita yang sering bermain di bibir penduduk di salah satu kampung iaitu Kampung Bukit Teriak, Pokok Sena adalah misteri sebuah telaga yang dikatakan tidak pernah kering walaupun musim kemarau.
Menurut seorang penduduk, Mon Shamsu, 76, penduduk tidak berani mengambil air di telaga itu kerana bimbang sesuatu buruk akan berlaku kerana ia dikatakan milik hantu pari yang turun dari bukit.
“Telaga ini sedalam tiga meter dan terdapat batu hampar di bawahnya, selain ada satu keunikan kerana ia mempunyai tujuh telaga kecil dengan setiap daripadanya dikatakan berlainan warna airnya,” katanya.
Menurutnya, kesahihan cerita mengenai hantu pari itu masih belum terungkai hingga kini dan ia hanya jadi bualan orang-orang tua sejak puluhan tahun lampau.
Bagaimanapun, hingga kini masih ada penduduk yang tidak berani untuk ke kawasan berkenaan.

 

PAPAN tanda Kampung Bukit Teriak, Pokok Sena.

Kini, di kawasan kaki Bukit Teriak dijadikan ladang getah yang menjadi tempat penduduk kampung mengerah kudrat untuk mencari sumber pendapatan.
Ada juga yang pernah menyatakan pemandangan dari atas bukit itu sangat cantik dengan suasana nyaman.
Dalam pada itu, Mon turut memberitahu, dia pernah mendengar kisah kewujudan alam bunian daripada rakan-rakannya di kawasan bukit itu.
Jelasnya, suatu ketika dahulu, ada penduduk kampung pernah mendengar bunyi seolah-olah orang menjerit dari atas bukit sehingga mereka tidak berani untuk ke kawasan bukit tersebut.
Bgaimanapun, katanya, seorang penduduk kampung bercakap besar dengan menyatakan tiada apa yang perlu ditakuti di atas bukit berkenaan.
“Jadi satu hari, dia naik ke atas bukit tetapi malangnya tidak turun. Ada yang mengatakan dia dimakan harimau atau disorok bunian,” ceritanya.
Katanya, sejak kejadian itu, penduduk kampung dikatakan mula takut dan risau untuk naik ke atas bukit tersebut.
“Ada juga cerita terdapat ular besar di puncak bukit,” tambahnya.
Bagaimanapun, seorang lagi penduduk, Hamid Ismail, 78, berkata, nama Kampung Bukit Teriak diambil sempena satu kisah yang berlaku di situ puluhan tahun lampau.
Untuk pengetahuan umum, perkataan teriak pada nama kampung tersebut bermaksud seruan dengan suara yang keras dan nyaring kerana meminta tolong, menjerit, melaung atau memekik.
Difahamkan, nama kampung tersebut diberikan setelah berlaku kisah misteri berlaku di situ.

 

SEORANG penduduk kampung menunjukkan Bukit Teriak yang banyak mempunyai cerita misteri.

Menurut Hamid, cerita yang paling sinonim dengan kampung tersebut adalah kisah seorang wanita mengandung yang mengidam untuk memakan buah berangan.
Katanya, wanita yang sarat mengandung itu kemudian bersama dua rakannya pergi ke kawasan hutan berbukit di kampung itu memandangkann di situ ada banyak pokok berangan.
“Mereka meredah hutan dan berjaya menemui pokok berangan dan terus mengumpulkan semua buah yang ditemui,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut baru-baru ini.
Ujarnya, wanita itu terus leka mengumpulkan buah berangan, sementara dua lagi rakannya dikatakan telah pulang tanpa pengetahuannya.
“Ketika sedang leka mengumpulkan buah berangan, tiba-tiba muncul seekor harimau dan terus menyerangnya.
“Pada masa itu juga, dikatakan dia melahirkan anak sebelum meninggal dunia,” ujarnya.
Cerita Hamid lagi, penduduk kampung yang mendengar bunyi tangisan bayi kemudian pergi ke kawasan hutan tersebut dan berjaya menyelamatkan bayi tersebut.
“Teriak dalam loghat utara membawa maksud menangis dan nama kampung ini iaitu Kampung Bukit Teriak ini dikatakan bersempena tangisan bayi di dalam hutan itu,” ceritanya.

 

—————————————————————————————————————————————————————————————————————————–

Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

BERITA BERKAITAN