fbpx

JDT menang tipis 1-0 ke atas Kuching FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arif Aiman menjaringkan gol tunggal perlawanan pertama Piala Malaysia sekaligus menghadiahkan tiga mata penuh buat JDT. Foto RAJA JAAFAR ALI

Kelab bolasepak gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT) dikerah untuk bekerja keras bagi mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuching FA pada aksi pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Arif Aiman Mohd. Hanafi pada minit ke-19 sudah cukup melayakkan JDT mara ke pusingan seterusnya.

Skuad Harimau Selatan hampir mencipta jaringan pada awal perlawanan menerusi Gonzalo Cabrera namun percubaannya dalam kotak penalti jauh melambung tinggi.

Skuad bimbingan Benjamin Mora terus mengasak gawang pasukan pelawat dengan menggandakan serangan namun percubaan demi percubaan dibuat gagal menerjah gol lawan.

Asakan demi asakan JDT akhirnya membuahkan hasil berpunca daripada gerakan direncanakan Cabrera dengan membuat hantaran lambung ke arah Diogo di dalam kotak penalti yang bersahaja mendada bola itu kepada Arif Aiman untuk menjaringkan gol pertama JDT.

Gol tersebut adalah jaringan sulung pemain muda berusia 18 tahun itu yang sudah membuat dua penampilan bersama Harimau Selatan pada musim ini.

Arif Aiman hampir menambah jaringan gol peribadinya pada minit ke-35 namun rembatannya kali ini agak lemah dan berjaya diselamatkan penjaga gol Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi.

Mohd. Iqbal menyelamatkan dua percubaan berganda oleh Diogo dan La’vere Corbin Ong pada akhir permainan bagi memastikan keputusan kekal sebelum babak kedua bersambung.

Pada separuh masa kedua, skuad kendalian Akira Higashiyama tampil berbeza dan lebih garang mencari gol penyamaan, bagaimanapun gerakan yang diatur berjaya dipatahkan benteng utuh pasukan JDT.

Pertukaran demi pertukaran yang dibuat oleh kedua-dua pasukan menyaksikan perlawanan tersebut kekal rancak dengan aksi-aksi bertenaga yang mencemaskan.

Kedua-dua pasukan masing-masing bertali arus melakukan serangan namun keputusan kekal ke wisel penamat.

JDT akan bertemu dengan pasukan Kuala Lumpur bagi peringkat suku akhir setelah pasukan itu mendapat undian bye pada peringkat kalah mati selepas pasukan Sabah digugurkan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI