fbpx

Belanjawan 2021: Prihatin nasib menimpa sektor penerbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan menghargai keprihatinan kerajaan melalui peruntukan RM50 juta bagi membantu sektor penerbangan iaitu sektor yang paling teruk terjejas akibat wabak Covid-19.

Selain itu, Menterinya Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, masa depan lebih 8,000 bekas kakitangan sektor penerbangan juga lebih terjamin menerusi penyediaan program latihan dan penempatan semula bagi mendapatkan pekerjaan baharu.

Beliau berkata, menerusi Belanjawan 2021, kementeriannya diberikan tanggungjawab yang agak besar untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 melalui program-program pembangunan sistem pengangkutan.

“Sistem pengangkutan awam berkenaan termasuk pelaksanaan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) dari Johor Bahru, Johor ke Woodlands, Singapura, MRT3 di Lembah Kelang dan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.

“Projek-projek pembangunan ini akan menyumbang serta memangkin ekonomi negara melalui aktiviti-aktiviti pembangunan serta
meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan negara,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, bagi membantu meringankan beban pengguna sektor pengangkutan darat pula, inisiatif pas perjalanan MY30 akan diteruskan dan diperluaskan ke Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang dengan peruntukan sebanyak RM300 juta.

Ka Siong berkata, pengenalan insentif baru pas perjalanan tanpa had RM5 untuk membantu pelajar sekolah tahun 1 hingga tingkatan 6 termasuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) pula adalah satu insentif yang terbaik bagi meringankan beban kewangan ibu bapa.

“Pas ini juga boleh digunakan bagi perkhidmatan tren Komuter Lembah Kelang, Komuter Sektor Utara, tren di antara Kuala Lipis, Pahang dan Tumpat, Kelantan serta perkhidmatan tren di Sabah,” katanya.

Selain itu, katanya, melalui agenda pendigitalan pula, perkhidmatan atas talian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diperluaskan melalui pengenalan kiosk di 50 lokasi strategik orang ramai di seluruh negara.

“Ini akan dapat mengurangkan keperluan orang ramai berurusan di kaunter-kaunter JPJ serta kemudahan perkhidmatan 24 jam,” katanya.

Katanya, kementeriannya akan terus komited dalam menggembleng usaha dan tenaga bagi memulihkan semula ekonomi negara serta memastikan kehidupan rakyat lebih sejahtera.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI