fbpx

Penyelam lepas gian di Pulau Tioman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA peserta berpeluang melihat keindahan dasar laut di sekitar Pulau Tioman.

AKTIVITI rekreasi seperti selam skuba yang terhenti ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19 pada awal tahun ini membuatkan penggemarnya ternanti -nanti detik sesuai untuk melepaskan gian mereka.

Sebaik tamatnya PKP pada Jun lalu, ramai penggemar skuba mengambil kesempatan berkunjung ke tempat terbaik bagi aktiviti tersebut

Walaupun hampir tiba monsun, seramai 88 orang penyelam skuba dari seluruh negara tidak melepaskan peluang untuk menyertai program Start In Tioman (SIT) 2020 di Pulau Tioman, Pahang.

Acara yang memasuki memasuki tahun ke-11 penganjuran itu tetap menerima sambutan hangat daripada penyelam sama ada yang bergelar otai atau yang baru ingin berjinak-jinak dengan aktiviti tersebut.

Pengarah Program, Syed Rizalman Syed Abu Bakar berkata, program SIT 2020 dianjurkan bagi melahirkan penyelam baharu selain memberi kesedaran kepada mereka mengenai pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan laut.

 

LABAS menawarkan gua batu karang yang cantik kepada para peserta SIT 2020.

 

Katanya, program berkenaan juga menjadi platform terbaik kepada para penyelam untuk melepas gian mereka selepas hampir tiga bulan berkurung dalam rumah bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Kami semua sangat teruja dapat menjalankan program tahunan ini. Alhamdulillah, sambutan yang diberikan sangat menggalakkan meskipun negara masih berperang dengan pandemik.

“Justeru segala prosedur operasi standard (SOP) tetap ditekankan sepanjang berlangsungnya acara ini yang berlangsung pada 8 sehingga 11 Oktober lalu,” katanya ketika dihubungi Horizon baru-baru ini.

Menurut Syed Rizalman, antara aktiviti menarik yang diadakan sepanjang program termasuklah melawat taman laut, mendaki, snorkeling, fun dive dan kelas open water diving dan advanced open water diving.

Jelasnya, kesemua peserta telah dibawa menjelajah ke tujuh lokasi menyelam terbaik yang terdapat di sekitar Pulau Tioman.

“Antara lokasi selaman yang diterokai peserta adalah di Chebeh, Renggis, Soyak, Tulai dan Labas. Lokasi-lokasi ini sering menjadi tumpuan kepada penyelam dari seluruh dunia.

“Misalnya, di Labas mempunyai gua batu karang yang sangat cantik. Jika bernasib baik, para penyelam dapat melihat dengan lebih dekat spesies ikan yang susah ditemuhi iaitu bamhead,” terangnya.

Tambahnya, Program SIT 2020 bukan sahaja memberi keseronokan kepada para penyelam, malah penduduk di Kampung Genting, Pulau Tioman yang menjadi lokasi penempatan turut beroleh manfaat.

 

SERAMAI 88 orang peserta menyertai SIT 2020 di Pulau Tioman baru-baru ini.

 

Dia memaklumkan, program tersebut sedikit sebanyak dapat membantu menjana ekonomi penduduk setempat menerusi sewaan resort dan bot, makanan dan jualan barangan cenderamata.

“Kami sedar, ramai pengusaha yang terlibat dengan sektor pelancongan di pulau ini terjejas teruk. Dengan adanya program ini, ia sedikit sebanyak memberi ‘nyawa’ kepada mereka,” ujarnya.

Salah seorang peserta, Suhana Ujang, 39, berkata, SIT 2020 memberi peluang kepadanya untuk belajar dan mendalami aktiviti selam skuba.

Katanya, sebagai seorang yang masih baharu, program tersebut sangat membantu kerana dapat belajar banyak perkara berkaitan selam skuba daripada mereka lebih berpengalaman.

“Program ini sangat bermanfaat. Pada mulanya ada sedikit perasaan gugup, tetapi jurulatih dan rakan-rakan banyak memberi tunjuk ajar.

“Saya juga banyak mendengar nasihat dan tip daripada mereka yang sudah lama berkecimpung dalam dunia skuba seperti jangan mudah cemas ketika berada di dasar laut bagi mengelakkan gas oksigen cepat habis,” ujarnya.

Wanita yang berasal dari ibu negara itu menambah, program SIT 2020 turut membantu mengeratkan hubungan dalam kalangan penggemar aktiviti itu.

Jelasnya, sepanjang program, peserta banyak menghabiskan masa bersama, sekali gus memberi peluang untuk berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI