fbpx

Hasil seni daripada bahan kitar semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PIHAK sekolah yang memenangi pertandingan reka bentuk poster menerima set tong kitar semula untuk ditempatkan di kawasan sekolah.

ALAM sekitar adalah satu anugerah Tuhan yang amat bernilai kepada kehidupan manusia.

Kepentingan memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab semua dan ia memerlukan penglibatan secara bersama.

Generasi muda khususnya harus diterapkan dengan kepentingan pemuliharaan alam sekitar sejak awal usia lagi bagi memastikan mereka menjadi insan bertanggungjawab dan tidak sesekali melakukan kerosakan terhadap ekosistem.

Dalam usaha menggalakkan generasi muda memainkan peranan lebih aktif dalam melindungi alam sekitar, satu pertandingan reka bentuk poster bertajuk Recycle For A Life Cycle telah diadakan.

Pertandingan itu dianjurkan syarikat pengeluar makanan dan minuman Fraser & Neave Holdings Berhad (F&NHB) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sempena edisi keempat Kempen Kitar Semula anjuran kedua-dua pihak.

Pertandingan reka bentuk poster itu memberi inspirasi kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Seberang Perai di Pulau Pinang untuk mengambil pendekatan mesra alam dan prihatin terhadap alam sekitar dengan cara yang lebih berdaya imaginasi dan menyeronokkan.

Ia berasaskan falsafah 5R iaitu Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula, Fikirkan Semula dan Cipta Semula.
Pengurus Hal Ehwal Korporat F&NHB, Cariessa Goh menjelaskan, pertandingan itu berjaya menyuntik keseronokan dalam aktiviti kitar semula.

Jelasnya, ia juga menyedarkan pelajar bahawa melindungi alam sekitar adalah aktiviti menarik dan kreatif yang boleh dilakukan bersama rakan-rakan dan keluarga.

“Kami amat berterima kasih dan berbangga atas usaha gigih sekolah-sekolah untuk memenangi pertandingan reka bentuk poster. Kami sentiasa mencari cara baharu untuk menjadikan kitar semula lebih menarik kepada pelajar.

“Ini membuktikan, pelajar sudah bersedia dan amat bersungguh-sungguh ingin memulihara alam sekitar,” ujarnya.

Tambahnya, melalui pertandingan tersebut, ia menunjukkan bagaimana pihaknya dan MBSP boleh berganding bahu dalam usaha untuk mencapai matlamat bersama demi masa depan lebih lestari untuk generasi masa depan.

Goh turut merakamkan penghargaan kepada MBSP atas kerjasama dan dedikasi mereka untuk memastikan inisiatif ini boleh dilaksanakan dengan lancar dan cekap.

“Kami bercadang menjalin pelbagai kerjasama masa depan untuk mengubah dunia ini menjadi tempat lebih hijau dan sihat untuk dihuni oleh semua,” jelasnya.

Pertandingan mereka bentuk poster itu mendapat sambutan positif dan pelajar sekolah menunjukkan kreativiti mereka dengan menampilkan konsep yang cukup unik.

Mereka menggunakan bahan kitar semula yang kemudian diolah menjadi hasil seni menakjubkan.

 

POSTER yang dihasilkan oleh peserta menggunakan bahan-bahan kitar semula.

 

Dalam pertandingan itu, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pai Teik telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori sekolah rendah.

Guru Kesenian dan Matematik SJK(C) Pai Teik, Oii Chai Shia menjelaskan, para pelajarnya begitu seronok melibatkan diri dalam seluruh proses mereka bentuk dan mencipta poster dengan menggunakan bahan kitar semula.

“Walaupun sudah merangka draf, mereka menghadapi beberapa halangan. Mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyiapkan poster, jadi mengubah suai dan menukar reka bentuknya.

“Saya percaya, pertandingan ini sesuatu yang mencabar pelajar untuk berusaha melangkaui had diri masing-masing dan mereka akhirnya berjaya mengatasi kerumitan untuk muncul sebagai pemenang,” jelasnya.

Sekolah Menengah Kebangsaan Valdor pula telah mendapat tempat pertama bagi kategori sekolah menengah untuk pertandingan tersebut.

Guru Sains dan ketua Kelab Kitar Semula sekolah itu, Tay Shieh Lee menjelaskan, sekolahnya dan pelajar terlibat berasa amat gembira setelah diumumkan sebagai pemenang.

“ Kami tidak menduga akan menang. Sebagai guru, saya benar-benar berbangga dengan pencapaian ini. Sebelum pertandingan, pelajar berkumpul selepas sekolah bersama guru seni untuk membincangkan idea reka bentuk poster.

“Semangat kerja berpasukan pelajar begitu kental dan mereka benar-benar memberi tumpuan terhadap kerja sehingga tidak terpengaruh oleh apa yang dilakukan pasukan lain.

“Saya harap, kemenangan ini akan mendorong mereka untuk terus meneroka kreativiti masing-masing untuk mencipta hasil projek seni yang lebih menarik menggunakan bahan kitar semula,” jelasnya.

Kemenangan itu membolehkan mereka menerima set tong kitar semula unik.

Ia diperbuat daripada kotak minuman kitar semula yang akan ditempatkan di kawasan sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI