fbpx

PIDM SIRI 8: Tiga cara untuk bina daya tahan kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perlindungan PIDM disediakan secara automatik dan percuma.
PIDM selaku pihak berkuasa kerajaan melindungi simpanan dan manfaat takaful serta insurans pengguna.

Pernah dengar istilah daya tahan kewangan? Daya tahan kewangan adalah keupayaan untuk menampung perbelanjaan yang disebabkan oleh kejadian tidak dijangka, sama ada negatif atau positif, yang memberi impak kepada pendapatan atau aset mereka.

Anda boleh memiliki ketahanan kewangan yang kukuh dengan memupuk tabiat menabung, mengurangkan hutang dan menguruskan wang dengan bijak.

Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) adalah ahli Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), sebuah platform antara agensi yang bertujuan untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia sejajar dengan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan.

Dalam rencana ini, PIDM ingin berkongsi tiga langkah bagi membina daya tahan kewangan anda. Pertamanya adalah rancang kewangan anda.

Pelan kewangan boleh membantu anda menguruskan simpanan dan perbelanjaan anda dengan lebih baik.

Sebagai contoh, katakan anda mahu memperuntukkan 20 peratus daripada pendapatan anda bagi tujuan simpanan.

Ke manakah peruntukan ini perlu disalurkan? Adakah ke dalam akaun simpanan khusus atau adakah anda mahu mengasingkannya ke dalam produk simpanan lain, seperti 10 peratus ke dalam akaun simpanan dan 10 peratus ke dalam akaun deposit tetap?

Dengan mengenal pasti perbelanjaan anda terlebih dahulu, anda boleh mengaturnya mengikut keutamaan. Anda mungkin perlu membuat ansuran bulanan, seperti pinjaman rumah atau sewa beli.  Ini merupakan perbelanjaan utama.

Seterusnya, anda mungkin ada perbelanjaan berulang lain seperti bil-bil utiliti dan telefon. Ini juga penting tetapi boleh dikurangkan.

Langkah kedua adalah untuk memastikan anda bersedia untuk perubahan keadaan kesihatan yang tidak dijangka.

Walaupun kita berusaha untuk menjaga kesihatan, keadaan kesihatan kita boleh berubah pada bila-bila masa.

Dalam kes yang serius, kita mungkin tidak lagi dapat bekerja dan memperoleh pendapatan. Ini menjejaskan keupayaan kita untuk terus bertahan dari segi kewangan.

Membeli produk takaful atau insurans merupakan sebahagian penting dalam perancangan kewangan kerana ia adalah pelan sokongan kewangan kita apabila berdepan dengan masalah berkaitan kesihatan atau masalah lain.

Terdapat beberapa contoh insurans yang anda boleh pertimbangkan. Pertamanya ialah takaful atau insurans kesihatan untuk membayar bil perubatan sekiranya anda menghidap penyakit tertentu atau mengalami kecederaan atau kecacatan.

Kedua adalah takaful keluarga atau insurans hayat untuk menyediakan sokongan kewangan kepada keluarga sekiranya anda tidak dapat bekerja.

Sumbangan takaful dan premium insurans meningkat seiring dengan pertambahan usia. Oleh itu, dapatkan perlindungan takaful atau insurans seawal mungkin.

Jika anda menunggu sehingga usia sudah terlalu tua, mungkin tiada syarikat insurans yang akan menawarkan perlindungan bagi jenis insurans kesihatan yang anda perlukan.

Laman web yang memberikan perkhidmatan perbandingan boleh membantu anda mencari pakej yang paling sesuai dengan keperluan dan peruntukan belanja anda.

PIDM memastikan simpanan anda sentiasa dilindungi.

Langkah ketiga yang perlu anda lakukan adalah membina dana kecemasan.

Sebarang situasi kecemasan boleh menelan belanja yang besar. Sebagai contoh, kemalangan kereta. Anda mungkin boleh menampung kos pembaikan kereta dengan insurans anda tetapi kereta anda mungkin berada di bengkel selama beberapa minggu.

Jadi, selain daripada membayar sebarang komitmen bulanan bagi kereta anda, anda juga terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk menggunakan pengangkutan awam. Kita tidak boleh menjangka bila sebarang kecemasan akan berlaku.

Oleh itu, kita perlu membina sebuah dana kecemasan untuk situasi seperti ini. Sebagai permulaan, kumpulkan RM1,000 untuk kegunaan kecemasan.

Secara perlahan-lahan, teruskan mengumpul dana ini sehingga boleh menampung perbelanjaan anda selama enam bulan dan menyimpannya sebagai dana luar jangkaan.

Ada beberapa cara berbeza untuk menyimpan dana tersebut, seperti menyimpan jumlah tertentu daripada pendapatan anda setiap bulan dan mengurangkan perbelanjaan.

Sekiranya anda perlu berbelanja, pastikan ia dilakukan dengan bijak. Daripada membeli sesuatu berkos tinggi secara kredit atau ansuran bulanan yang dikenakan faedah, anda boleh menyimpan wang untuknya terlebih dahulu.

Sebarang lebihan wang yang anda ada pada hujung bulan boleh juga disimpan untuk dana kecemasan ini.

Fikiran anda akan menjadi lebih tenang sekiranya anda mula membina daya tahan kewangan anda seawal-awalnya kerana anda tahu bahawa anda lebih bersedia sekiranya anda atau keluarga anda ditimpa kesulitan kewangan.

Inisiatif ini disokong oleh PIDM sebagai ahli Jaringan Pendidikan Kewangan. Bagi maklumat mengenai FEN sila layari laman web www.fenetwork.my.

Untuk maklumat lanjut mengenai PIDM, boleh layari www.pidm.gov.my dan laman Facebook PIDM, atau hubungi talian bebas tol di 1-800-88-1266.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI