fbpx

Bibir besar Andrea kian hampiri hidung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANDREA menyifatkan rupanya lebih menawan dengan berbibir besar.

“DOKTOR bimbang dan mengatakan bibir saya sudah terlalu besar hingga mencadangkan semua asid hyaluronik (hyaluronic acid) dikeluarkan daripada bibir saya supaya saiznya lebih kecil dengan bentuk yang sedikit berbeza berbanding sekarang.

“Tetapi saya bertegas dan menolak saranannya itu serta mengatakan akan terus membesarkan bibir. Saya sangat suka bibir besar.”

Demikian kata seorang gadis berusia 22 tahun dari Bulgaria yang taksub untuk memiliki rekod bibir terbesar di dunia.

Memetik laporan portal Daily Star, wanita itu, Andrea Emilova Ivanova yang digelar ‘Barbie hidup’ sanggup mengetepikan risiko yang mungkin dihadapinya selain tidak kisah untuk berbelanja berbelas ribu ringgit bagi mendapatkan hasil memuaskan dengan membuat suntikan asid hyaluronik.

Menurut laporan tersebut, gadis yang merupakan pelajar jurusan falsafah itu baru sahaja menjalani suntikan buat kali ke-21 biarpun sudah diberi amaran oleh doktor untuk segera memberhentikannya.

“Sebelum menjalani suntikan asid hyaluronik terbaharu ini, saya sudah pun memiliki bibir yang berlipat kali ganda lebih besar dan mungil daripada saiz asal.

“Doktor bimbang akan keadaan bibir yang semakin membesar sedangkan bagi saya perlu menjalani suntikan ini untuk mengekalkan kandungan asid hyaluronik di bibir, sekali gus membesarkan lagi bibir ini.

“Saya rasa diri saya kelihatan cantik dan menawan dengan bibir yang besar,” katanya.

 

ANDREA membuat suntikan ke-21 pada bibirnya baru-baru ini.

 

Sebelum menjalani suntikan terbaharu itu bibir Andrea sudah pun bersaiz empat kali ganda daripada saiz asal bibirnya namun dia masih belum berpuas hati.

Tambahnya lagi, walaupun doktor memaklumkan berkenaan risiko tinggi kerana kerap membuat suntikan itu, namun sehingga kini dia langsung tidak mengalami apa-apa kesan sampingan dan komplikasi kesihatan lain.

Lapor portal berita itu lagi, tambahan suntikan asid hyaluronik secara berulang kali menyebabkan bibir Andrea menjadi terlalu besar hingga hampir menyentuh hidungnya.

Pada masa sama, Mirror UK turut melaporkan gadis tersebut telah memulakan transformasi itu sejak 2018 dan selepas memuat naik gambar perubahan dirinya, gambar-gambar Andrea bersama bibirnya telah tular di seluruh dunia.

 

WAJAH gadis Bulgaria ini sebelum melakukan suntikan bibir.

 

Andrea bukan sahaja semakin dikenali netizen bahkan mendapat pelbagai liputan media kerana saiz bibirnya yang luar biasa.

Sehingga kini, Andrea yang turut mempunyai teman lelaki itu sering memuat naik gambar terbaharunya yang jelas menunjukkan perubahan ketara pada bibirnya.
Perkongsian dibuat di akaun Instagram miliknya andrea.andrea345 yang mempunyai lebih 64,000 pengikut di Instagram.

Andrea mempunyai kelompok penyokong atau peminat yang sangat mengagumi bibirnya. Mereka memuji bibirnya sebagai ‘sempurna’.

Andrea membelanjakan sejumlah 134 pound sterling (RM721) bagi setiap suntikan filler, sekali gus bermakna telah menghabiskan lebih RM15,000 untuk kesemua 21 suntikan itu.

“Saya sukakan bibir baharu ini walaupun sukar untuk makan selama dua ke tiga hari selepas melakukan suntikan, selain terpaksa mengikut prosedur yang lebih sukar.

“Biarpun tidak pasti sama ada kini saya memegang rekod bibir terbesar di dunia atau ada insan lain berbibir lebih besar, namun saya akan terus membesarkan
bibir demi mencapai rekod itu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI