fbpx

Lawan arus sebab tiada kad Touch n Go

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandu lelaki berusia 73 tahun melawan arus di LKSA hari ini.

SHAH ALAM – Gara-gara tidak mempunyai kad prabayar Touch n Go, seorang lelaki warga emas bertindak melawan arus pulang ke rumahnya di Seksyen 8 dari Plaza Tol Sri Muda, Lebuh Raya Kemuning Shah Alam (LKSA) di sini hari ini.

Tindakan lelaki berusia 73 tahun itu telah mengakibatkan dua kemalangan kereta di LKSA dalam kejadian berlaku pukul 5 petang.

Difahamkan jarak rumah mangsa dengan plaza tol tersebut adalah kira-kira 14 kilometer.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila warga emas itu yang memandu sendirian kereta jenis Perodua Kelisa dalam perjalanan menuju ke Pasar Raya Tesco di Seksyen 13 di sini dari rumahnya.

Katanya, bagaimanapun lelaki tersebut telah tersalah jalan dan memasuki LKSA.

“Apabila tiba di Plaza Tol Sri Muda didapati warga emas itu tidak mempunyai kad Touch n Go lalu berpatah balik melawan arus untuk balik ke rumah.

“Tindakan itu menyebabkan sebuah kenderaan jenis Honda City dipandu oleh individu berusia 33 tahun yang dalam perjalanan ke Kota Kemuning terbabas selepas cuba mengelak di Kilometer 3.1 lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau menambah, warga emas tersebut yang meneruskan perjalanan melawan arus didapati telah berlanggar dengan sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi di Kilometer 6.6 di lebuh raya sama.

Ujarnya, pemandu Myvi berusia 25 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Sri Muda dari Bukit Jelutong.

“Pemandu kereta jenis Honda City yang cedera dibawa oleh rakannya ke Hospital Columbia, manakala pemandu Myvi dan lelaki warga emas tersebut tidak cedera,” katanya.

Jelas Baharudin, warga emas itu kemudiannya dibawa pulang ke rumahnya oleh orang awam sebelum anaknya membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk membuat laporan polis.

“Warga emas itu kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam di sini untuk pemeriksaan dan ditahan untuk tindakan lanjut,”

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.

Terdahulu insiden melawan arus itu tular di laman Facebook menerusi video berdurasi satu minit 13 saat dengan perakamnya menyatakan warga emas itu memandu sejauh dua kilometer dan telah melanggar kereta lain. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI