fbpx

70 juta keluar mengundi di Bihar ketika India catat 8 juta kes Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WANITA beratur untuk membuang undi di sebuah pusat mengundi di Masaurhi, Bihar hari ini. - AFP

NEW DELHI – Berjuta-juta orang keluar mengundi dalam pilihan raya negeri Bihar hari ini yang merupakan pilihan raya terbesar dunia sejak pandemik koronavirus melanda.

Ramai pengundi dilihat tidak mempedulikan nasihat kerajaan supaya memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Sebanyak 70 juta orang berhak mengundi di Bihar iaitu negeri di timur India yang diperintah oleh perikatan diketuai Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi. Beliau menjanjikan vaksin percuma untuk setiap penduduk Bihar jika BJP jika menang dalam pilihan raya kali ini.

Pilihan raya tersebut diadakan selepas India merekodkan lapan juta kes Covid-19 sekali gus negara yang mencatatkan jangkitan koronavirus kedua paling banyak di dunia.

“Saya agak takut kerana Covid-19 bukan penyakit ringan.

“Bagaimanapun, ada tindakan pencegahan di ruang mengundi. Petugas pilihan raya memberikan cecair pembasmi kuman dan dan sarung tangan,” kata pelajar berusia 21 tahun, Nidhi Kumari ketika beratur untuk mengundi di pinggir ibu negeri Bihar, Patna.

 

ORANG ramai tiba untuk mengundi di pusat pembuangan undi di Patna hari ini. – AFP

 

Pengundian di Bihar diadakan selama tiga hari iaitu hari ini, 3 November dan 7 November ini bagi mengurangkan kesesakan di pusat-pusat pembuangan undi.

Pesakit koronavirus juga dibenarkan mengundi di bawah pengawasan pihak berkuasa kesihatan.

Modi yang berkempen di seluruh negeri itu menjelang hari mengundi merayu kepada orang ramai supaya mematuhi semua langkah berjaga-jaga Covid-19 semasa membuang undi.

Bagaimanapun, di sebuah tempat mengundi yang dikunjungi agensi berita AFP, orang ramai dilihat berbaris panjang dan rapat, manakala hanya segelintir daripada mereka memakai pelitup muka.

Pihak berkuasa juga sukar menguatkuasakan peraturan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka pada perhimpunan politik di negeri itu yang dihadiri oleh berpuluh-puluh ribu orang menjelang hari mengundi.

Pilihan raya tersebut adalah yang pertama di India sejak Modi melaksanakan perintah berkurung koronavirus pada akhir Mac lalu yang menyaksikan berjuta-juta pekerja miskin, kebanyakan mereka dari dari Bihar, hilang pekerjaan dengan sebahagian mereka terpaksa berjalan kaki berhari-hari atau berminggu-minggu untuk pulang.

Bihar adalah negeri paling miskin di India dan diperintah oleh perikatan BJP dan parti Janta Dal United selama satu dekad. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI