fbpx

Kompleks polis diserang, tiga terbunuh 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang mangsa cedera akibat serangan bom kereta di wilayah Khost dirawat di sebuah hospital di Afghanistan hari ini. - AFP

KHOST, Afghanistan – Serangan bom kereta di sebuah pangkalan polis Afghanistan diikuti pertempuran senjata api hari ini menyebabkan tiga anggota polis maut dan berpuluh-puluh orang cedera.

Beberapa pegawai polis berkata, serangan ke atas kompleks polis di bandar Khost itu dilancarkan awal pagi dan mencederakan 33 anggota keselamatan termasuk 11 orang awam.

Seorang wartawan agensi berita AFP melaporkan bahawa pertempuran senjata api di sekitar kompleks berkenaan masih berterusan.

Bom kereta itu diletupkan di pintu masuk kompleks pasukan polis khas di bandar Khost, kata sumber keselamatan.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan,  Tariq Arian berkata, selepas letupan berlaku,  kumpulan penyerang cuba masuk ke  pekarangan pangkalan polis dan bertempur dengan pasukan keselamatan.

“Empat penyerang terbunuh sementara dua lagi masih bertempur,”  kata Arian.

Pegawai kesihatan wilayah Khost, Gul Mohammad berkata, wanita dan kanak-kanak adalah antara yang cedera. Bandar Khost adalah ibu negeri wilayah Khost, tenggara Afghanistan.

Setakat ini, belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab.

Keganasan di Afghanistan melonjak sejak beberapa minggu lalu walaupun kumpulan pemberontak Taliban dan pemerintah Afghanistan terlibat dalam rundingan damai bagi menamatkan  konflik yang sudah lama berlaku di negara itu.

Pegawai Afghanistan dan Amerika Syarikat  berulang kali memberi amaran bahawa pertumpahan darah yang semakin meningkat mengancam rundingan damai diadakan di Qatar sejak bulan lalu.

Sebilangan besar serangan oleh Taliban telah menyasarkan pasukan keselamatan Afghanistan, namun sejumlah orang awam turut terbunuh. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI