fbpx
Anggota APM dan kakitangan KKM membantu mengusung Norazlina Ramli wanita obes di kediamannya untuk dibawa ke Hospital Segamat bagi mendapatkan rawatan .

APM bantu wanita 200 kg ke hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT – Seorang wanita yang mengalami masalah obesiti dengan berat badan 200 kilogram (kg) terpaksa meminta bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dihantar ke hospital, hari ini.

Pegawai APM Segamat, Kapten (PA) Nor Hisyam Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.00 pagi memaklumkan seorang wanita yang tinggal di Taman Bunga Raya di sini mengalami tumpah darah selain mengalami kesukaran bernafas.

“Wanita berusia 35 tahun itu dihantar ke Hospital Segamat dengan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) Segamat akibat keadaannya yang memerlukan rawatan segera,”katanya ketika ditemui di sini.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr. Zaid Kassim.

Menurut Nor Hisyam, jiran dan waris wanita itu cuba mengangkatnya untuk dibawa ke hospital menggunakan kenderaan sendiri namun tidak berjaya sebelum menghubungi pihaknya.

“Lapan kakitangan APM termasuk dua anggota wanitanya yang turut dibantu empat kakitangan KKM Segamat bekerjasama berusaha mengangkat wanita itu dari atas katil hingga masuk ke dalam ambulans.

“Sebaik tiba, kita dapati dia berada di atas katil dan turut mengadu sakit di bahagian badan serta dada. Kami mengambil masa 10 minit untuk mengangkat dan mengusungnya keluar dari rumah,”katanya.

Ibu saudara, Roslina Mahfoh, 44, berkata, anak saudaranya, Norazlina Ramli, 35, sejak malam tadi mengalami tumpah darah dan keadaannya semakin serius dengan wajahnya kelihatan pucat pagi tadi.

“Masalah berat badan itu semakin ketara sejak Norazlina berusia belasan tahun walaupun mengamalkan pemakanan sihat disebabkan masalah hormon.

“Sejak kebelakangan ini tahap kesihatannya semakin merosot kesan pertambahan berat badannya itu serta terpaksa dibantu kerana tidak mampu bergerak melakukan aktiviti harian,”katanya.-K! ONLINE