fbpx
AZPILICUETA dirangkul dari belakang oleh Maguire sebelum dijatuhkan di dalam kotak penalti, namun tiada tindakan oleh VAR dan pengadil pada aksi di Old Trafford awal pagi semalam.

VAR, pengadil punca Chelsea gagal menang – Lampard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER – Pengurus Chelsea, Frank Lampard berang ke­rana pengadil dan Video Bantuan Pengadil (VAR) enggan memberikan sepakan penalti kepada skuad bimbingannya dalam aksi yang berkesudahan seri tanpa­ jaringan dengan Manchester United awal pagi semalam.

Lampard tidak berpuas hati selepas VAR gagal mengesan tindakan kapten United, Harry Maguire menjatuhkan Cesar Azpilicueta dalam kawasan kotak penalti pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford itu.

“Saya tidak dapat melihat de­ngan jelas dari posisi saya ketika itu tetapi inilah waktu VAR memainkan peranannya. Bagi saya, ia jelas sekali sepakan penalti.

“VAR sepatutnya mengambil masa dan pengadil perlu melihat insiden itu melalui skrin di tepi padang. Jika pengadil berbuat sedemikian, mungkin dia akan memberikan sepakan penalti kepada kami.

“Ia bukan satu tugas sukar tetapi VAR membuat keputusan dengan cepat dan pengadil juga tidak memainkan peranannya,” kata Lampard.

Dalam perkembangan sama, Lampard turut memuji penjaga golnya, Edouard Mendy selepas mempamerkan prestasi menakjubkan untuk menyelamatkan maruah Chelsea daripada tewas kepada The Red Devils.

Mendy, 28, muncul penjaga gol pertama Chelsea yang berjaya mengharungi perlawanan tanpa bolos ketika bertemu United di Old Trafford sejak Thibaut Courtois pada Disember 2015.

Penjaga gol No. 1 Senegal itu turut mengikut jejak langkah Petr Cech apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos dalam dua perlawanan pertamanya bersama The Blues selepas berhijrah daripada Rennes bulan lalu. – AGENSI

BERITA BERKAITAN