fbpx

Mayat lelaki ditemui terapung di Sungai Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan terapung di Sungai Kelantan dekat Kampung Keseng hari ini.

KOTA BHARU – Seorang nelayan terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki yang terapung sewaktu sedang mengangkat bubu ikan Sungai Kelantan dekat Kampung Keseng di sini hari ini.

Saksi kejadian, Mohd. Zuhar Zaidi, 40, pada awalnya menyangka mayat itu merupakan sebuah tilam yang sedang terapung di permukaan sungai kira-kira pukul 9.30 pagi.

Katanya, selepas melihat seakan-akan tilam yang sedang terapung, dia memberanikan diri mendekati barangan itu dengan menaiki perahu.

“Selepas melihat beberapa kali, saya melihat seperti rambut pada bahagian depan dan terus mengesyaki ia adalah mayat seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an.

“Saya bergegas pulang ke rumah dan memaklumkan penemuan itu kepada ayah saya Zaidi Musa, 74, untuk mendapat pengesahan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian.

Mohd. Zuhar berkata, dia bersama ayahnya turun ke sungai berkenaan dan melihat mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan tersangkut pada bot milik ayahnya.

Katanya, dia terus menghubungi pihak polis sebelum memaklumkan kepada penduduk kampung.

“Sambil menunggu kehadiran pihak polis, ayah saya telah mengikat kaki mayat berkenaan pada tali bot kerana bimbang dihanyutkan arus.

“Ini merupakan kejadian kali kedua saya terjumpa mayat yang tersangkut pada bot ayah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud kerika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan berhubung penemuan mayat berkenaan.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI