fbpx
DRAMA rantaian Emily In Paris mengangkat kisah mengenai pemerkasaan wanita yang menjadi inspirasi buat banyak wanita muda di dunia.

Simbolik feminisme Emily In Paris versi Lily Collins

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Menjejakkan kaki di kota Paris yang terkenal sebagai kota cinta bahkan menjadi simbol kemewahan dunia sering menjadi mimpi indah buat golongan wanita.

Serupa juga dengan Emily, wanita berusia dalam lingkungan 20-an yang begitu teruja apabila diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke Paris, sekali gus merealisasikan impiannya.

Namun, mimpi tidak seindah realiti. Rencana Emily meleset daripada yang diinginkan berikutan pelbagai insiden luar jangka sehingga mengubah perancangan asalnya.

Begitulah watak Emily lakonan Lily Collins dalam drama rantaian terbaharu dalam platform penstriman Netflix yang kini hangat diperkatakan.

Berlatarbelakangkan keindahan kota Paris, Emily In Paris mungkin kelihatan seperti beberapa karya sarkastik klise rakyat Amerika Syarikat terhadap warga Perancis.

Sejak memulakan tayangan pada 2 Oktober lalu, Emily In Paris mendapat sambutan hangat penonton, namun timbul suara mempersoalkan tahap realiti naskhah tersebut.

Disebabkan sentiasa tampil bergaya memperagakan busana mewah dan berjenama, penonton mempertikaikan tahap kewangan watak Emily yang dikatakan tidak sepadan dengan usia dan keremajaan karakternya.

Biarpun begitu, pelakon bermata bundar itu secara bersahaja menjelaskan bahawa Emily merupakan seorang wanita yang fokus terhadap kerjaya. Atas alasan tersebut dia diberikan peluang untuk menjawat jawatan tinggi meskipun pada usia muda.

 

LATAR belakang Emily yang seharusnya menunjukkan persekitaran di Paris telah dijadikan meme oleh pengguna media sosial di Twitter selain tajuknya juga ditukar kepada Emily In Perlis.

 

“Fesyen tidak perlu dipersoalkan kerana kita berada di Paris, dunia yang penuh warna-warni dan gaya fesyen daripada pereka terkenal.

“Emily merupakan seorang wanita berbakat dan sentiasa berjaya dalam setiap tugasan yang diberikan. Disebabkan kemahirannya, dia dinaikkan pangkat. Bagi saya, tidak mustahil untuk seorang wanita mengecap kejayaan pada usia muda,” kata Lily.

Tidak hanya melibatkan soal fesyen, naskhah yang dihasilkan Darren Star tersebut turut mendapat kritikan kerana memaparkan gaya hidup masyarakat Perancis dari sudut negatif.

Ya, benar kota Paris sarat kisah romantis tetapi tidak semua golongan lelaki di sana curang dalam hubungan.

Biarpun mengundang pelbagai kritikan dan pandangan berbeza, pengakhiran siri pertama Emily In Paris disifatkan satu pendekatakan bijak kerana awal-awal lagi sudah mengundang rasa tidak sabar dalam kalangan penonton untuk menantikan kesinambungan cerita tersebut untuk musim akan datang.

Menjadi inspirasi

Berkongsi pengamalan saat awal pembikinan cerita tersebut, Lily akui sudah jatuh cinta dengan karakter Emily apatah lagi watak tersebut cenderung menyerlahkan elemen pemerkasaan golongan wanita.

Emily yang memiliki cara pemikiran Amerika Syarikat berusaha menyesuaikan diri bekerja di sebuah syarikat pengiklanan jenama mewah dan berada berjauhan dari kampung halamannya.

“Emily digambarkan sebagai seorang wanita optimis dan bijak mengambil peluang, termasuk memandang positif dalam setiap permasalahan.

“Dia juga gemar membantu orang sekeliling dan sentiasa sukakan cabaran.

“Karakternya yang bersahaja dalam menangani cabaran hidup, yakin kepada kemampuan diri termasuk seorang yang bersifat terbuka dalam memberi pandangan membuatkan saya jatuh cinta.

“Dia selalu gembira dengan pilihan kerjaya dan mencintai setiap kerja yang dilakukan,” jelas Lily mengenai pandangannya terhadap karakter Emily.

 

MESKIPUN nampak sempurna, Lily sebenarnya pernah pernah bertarung dengan masalah anxiety dan mengatakan mereka yang menghidap masalah sedemikian perlu berani mendapatkan rawatan

 

Mengetengahkan elemen romantik komedi, Lily berasa gembira dan teruja apabila drama tersebut mendapat sambutan daripada pelbagai penonton.

“Zaman media sosial membuatkan cerita ini semakin mudah diterima penonton sehingga ada yang menjadikan imejnya sebagai meme dalam Instagram, Facebook, TikTok dan Twitter.

“Terima kasih kepada Netflix dan penonton yang meletakkan drama ini pada tangga pertama dalam carta. Semoga akan ada siri keduanya nanti,” tuturnya tersenyum.

Untuk informasi tambahan, meme merupakan istilah kontemporari yang merujuk kepada gaya penyampaian idea atau tingkah laku masyarakat dalam imej atau video.

Tangani anxiety

Meskipun sekadar melakonkan watak Emily, secara peribadinya Lily begitu mengagumi keperibadian Emily terutama berdepan dengan pandangan masyarakat.

Akuinya, sebagai manusia biasa kadangkala dia sendiri berasa tertekan dan mengalami tekanan emosi serta perasaan rendah diri.

Ketika dunia berdepan dengan pandemik Covid-19, Lily banyak menghabiskan masa bersama pasangannya, pengarah Charlie McDowell dan anjing mereka di rumah.

Banyak berkongsi aktiviti dalam media sosial dan podcast, Lily mengatakan masyarakat masa kini lebih bersifat terbuka berhubung soal emosi terutama anxiety.

 

LILY berasa teruja apabila drama rantaian Emily In Paris mendapat sambutan hangat daripada khalayak seluruh dunia.

 

“Saya kerap berkongsi dengan individu terdekat sekiranya berasa tertekan, selepas itu saya rasa tenang dan gembira.

“Sebagai manusia kita perlu berkomunikasi dan berusaha mencari penyelesaian serta sokongan dalam mengatasi setiap masalah.

“Paling utama, jangan pernah bersendirian mahupun berasa rendah diri. Percayalah, saya pernah melalui fasa yang sama,” katanya yang sebelum ini pernah berkongsi tentang gangguan pemakanan yang dihidapi dalam buku Unfilered: No Shame, No Regrets, Just Me pada 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN