fbpx

Kerajaan tamatkan operasi Hospital Medan Cox’s Bazar tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HMM Cox's Bazar akan ditamatkan operasi lebih awal susulan keadaan yang bertambah baik. GAMBAR HIASAN.

KUALA LUMPUR- Kerajaan memutuskan untuk menamatkan operasi Hospital Medan Malaysia (HMM) Cox’s Bazar, Bangladesh pada tahun ini, lebih awal berbanding mandat operasi sehingga Disember 2021.

Kementerian Pertahanan berkata, keputusan itu dicapai berdasarkan keadaan di kem pelarian yang semakin baik selain pertambahan bilangan hospital medan dari negara lain.

“Trend penurunan bilangan kes dan kehadiran pesakit ini adalah berikutan keadaan di kawasan kem pelarian semakin stabil dan tahap kesihatan pelarian Rohingya semakin baik berikutan penyakit-penyakit kronik telah diberikan rawatan sewajarnya dan banyak prosedur pembedahan telah berjaya.

“Selain daripada itu, terdapat penambahan enam buah hospital medan di dalam kawasan kem pelarian kendalian Kerajaan Turki dan pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa lain seperti Mèdecins San Frontiéres, HOPE Foundation, MSF Spain, Bangladesh Red Crescent Society dan Friendship,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pertambahan bilangan hospital medan itu telah memberi lebih banyak pilihan dan akses perkhidmatan kesihatan kepada pelarian Rohingya dan penduduk tempatan yang secara langsung telah mengurangkan kebergantungan mereka kepada HMM.

Seramai 10,038 pesakit telah mendapatkan perkhidmatan kesihatan di HMM Cox’s Bazar sepanjang tempoh operasi dari November 2017 hingga Mac lalu. 

“Jumlah kehadiran pesakit pernah mencapai sehingga 8,763 orang sebulan iaitu jumlah bulanan tertinggi pada November 2018. 

“Walau bagaimanapun, jumlah kehadiran pesakit bulanan telah menunjukkan trend penurunan, di mana pada bulan Februari 2020 iaitu hanya seramai 1,690 orang sahaja mendapatkan rawatan di HMM,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI