fbpx

Capaian PSP Perkeso negeri di bawah PKPB berkuatkuasa esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saravanan

Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL

PUTRAJAYA – Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan diperluaskan capaian kepada semua pencarum di negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mencakupi Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa esok.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, perluasan capaian PSP Perkeso itu terbuka kepada pekerja asing dan tempatan dalam semua sektor dan industri.

“Pencarum yang pernah menjalani saringan PSP sebelum ini boleh menjalani saringan semula selaras dengan pengumuman yang telah dibuat,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, majikan boleh menjalankan saringan Covid-19 untuk pekerja secara percuma melalui panel perkhidmatan yang dilantik oleh Perkeso dengan membuat janji temu saringan dan mengemukakan maklumat lengkap kepada panel perkhidmatan.

Beliau berkata, proses saringan boleh dilakukan di klinik atau makmal serta dijalankan di premis pekerjaan dan saringan melalui panel perkhidmatan sahaja ditanggung sepenuhnya oleh Perkeso.

Katanya, senarai panel perkhidmatan Perkeso itu boleh diperoleh dalam direktori panel perkhidmatan yang dipaparkan di portal https://psp.perkeso.gov.my.

“Saringan Covid-19 juga boleh dijalankan melalui kaedah Subsidi Saringan Prihatin namun, kos saringan hendaklah dibayar oleh majikan terlebih dahulu.

“Perkeso akan membuat bayaran balik subsidi sehingga RM150 bagi setiap pekerja yang telah menjalani saringan.

“Majikan boleh mengemukakan permohonan untuk subsidi saringan tersebut melalui portal https://psp.perkeso.gov.my dengan menyertakan resit bayaran,” katanya.

Saravanan berkata, majikan dan pekerja diingatkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan sewaktu menjalani ujian saringan Covid-19 agar proses berjalan dengan selamat dan tidak terdedah kepada risiko jangkitan.

Beliau berkata, pihaknya berharap kemudahan yang disediakan oleh Perkeso akan dapat membantu usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19 di negara ini.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diemelkan ke [email protected] atau menghubungi 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089.

Maklumat lanjut tentang program itu boleh diperoleh melalui soalan-soalan lazim (FAQ) bagi peluasan PSP Perkeso yang akan dimuatnaik ke laman sesawang dan media sosial rasmi, www.perkeso.gov.my. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI