fbpx

Polis tahan suspek seludup dadah, ubat batuk dengan feri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian dadah dan penimbang digital kecil berbentuk kotak rokok antara barang yang dirampas dalam tiga tangkapan berasingan di Langkawi pada semalam dan kelmarin.

Oleh NUR AMALINA AZMAN

LANGKAWI – Polis berjaya menumpaskan kegiatan menyeludup dadah dan ubat batuk dengan menggunakan feri penumpang selepas menahan tiga lelaki di tiga lokasi berasingan di sini sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, serbuan pertama melibatkan tangkapan seorang suspek berusia 34 tahun yang disyaki pengedar dadah dalam sebuah kereta jenis Volkswagen GTI di Kampung Sungai Kedak, Padang Matsirat di sini pada kelmarin.

“Pemeriksaan menemui sampul surat di dalam plastik hitam yang mengandungi syabu seberat 101.7 gram (g) dan dua peket lutsinar berisi heroin seberat 98.7 g dianggarkan bernilai RM19,300,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di sini hari ini.

Kata beliau, polis turut menemui alat penimbang digital, gunting dan peket plastik lutsinar kosong dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

“Suspek yang mempunyai rekod berkaitan dadah selain positif methamphetamine mendakwa bekalan dadah diperoleh selepas dibawa masuk ke Langkawi menggunakan feri penumpang,” ujarnya.

Menurut Mohd. Iqbal, pihaknya kemudian menahan dua lagi suspek dalam dua tangkapan berasingan di Terminal Feri Langkawi pada semalam.

“Seorang suspek berusia 30 tahun ditahan bersama heroin dan syabu seberat 2.47 kilogram bernilai RM128,800 di laluan pejalan kaki terminal feri penumpang kira-kira pukul 1.15 tengah hari semalam,” katanya.

Ujar beliau, tangkapan ketiga pula membabitkan seorang lelaki berusia 48 tahun yang ditahan sebaik dia turun dari feri penumpang kira-kira pukul 6.50 petang semalam.

“Sebanyak 250 botol ubat batuk ditemui dan ia dipercayai digunakan untuk proses menghasilkan air ketum,” ujarnya.

Tambahnya, dua suspek terbabit bukan berasal dari Langkawi, sebaliknya berkunjung ke pulau itu untuk menghantar bekalan dadah dan ubat batuk.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI