fbpx
Keadaan kubu dan rumah Dato Maharaja Lela yang terbiar di Kompleks Sejarah Pasir Salak.

Rumah Datuk Maharaja Lela terbiar lebih 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK – Rumah tokoh pejuang negara, Datuk Maharaja Lela di sini sudah terbiar lebih 10 tahun lalu tanpa diselenggarakan sehingga ia dikatakan menjadi sarang penagih dadah.

Rumah tradisional itu dibina semula mengikut reka bentuk asal rumah pahlawan Melayu itu yang terkenal dengan penentangannya terhadap penjajahan Inggeris lebih 100 tahun lalu.

Menariknya rumah tersebut bercirikan reka bentuk Melayu Perak iaitu rumah kutai dan ia dibina di atas tapak asal kediaman Datuk Maharaja Lela.

Tinjauan mendapati kediaman itu mengalami kerosakan di bahagian anjung, ibu rumah, anak rumah, bilik tidur serta dapur. Bangunan dinamakan ‘balai’ yang terletak bersebelahan rumah tersebut juga rosak teruk dan hampir roboh.

Rumah Datuk Maharaja Lela merupakan satu daripada tiga komponen utama di Kompleks Sejarah Pasir Salak yang terbiar selain Galeri Pemimpin dan Resort Pasir Salak.

Pengerusi Parti Putra Perak, Datuk Hamidah Osman yang kesal dengan keadaan itu berkata, rumah itu mempunyai nilai sejarah negara yang amat tinggi.

Menurutnya, kesan sejarah seperti kubu pertahanan di sekeliling kawasan rumah tersebut masih wujud, namun langsung tidak dijaga.

“Nilai sejarah di sini bukan hanya sejarah untuk Perak tetapi sejarah negara. Saya rasa amat sedih melihat keadaan rumah ini yang jika terus dibiarkan, dua tiga tahun lagi mungkin akan roboh,” katanya.

Beliau berharap kerajaan memberi perhatian terhadap Rumah Datuk Maharaja Lela dan resort serta semua komponen dalam kompleks di Pasir Salak dengan memberikan peruntukan baik pulih.

Menurutnya, adalah merugikan jika tempat yang cantik dan mempunyai nilai sejarah negara yang tinggi itu terus terbiar.

“Kalau nak bangunkan semula rumah ini, saya rasa RM2 juta sudah mencukupi atau dibangunkan secara peringkat mengikut keperluan dan kemampuan kewangan kerajaan. Jangan terus dibiarkan sehingga menyembah bumi, kalau nak buat baharu, kosnya lebih tinggi,” katanya. – K! ONLINE

POPULAR