BELUM pun bermula waktu operasinya pada pukul 10 pagi, kira-kira 10 buah kenderaan telah memasuki ruangan parkir di Pavilion Petting Zoo yang terletak di Jalan Jelapang-Chemor, kira-kira 15 kilometer atau 20 minit dari bandar raya Ipoh, Perak itu.
Sebaik tiba waktu yang dinantikan, kaunter dan pintu masuk ke petting zoo tersebut pun dibuka. Orang ramai mula beratur untuk membeli tiket dan makanan yang akan diberikan kepada kebanyakan haiwan jinak di situ.
Prosedur operasi standard (SOP)berasaskan norma baharu seperti mana ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga dipatuhi termasuk membuat pendaftaran nama, pemeriksaan suhu serta penjarakan fizikal selain penyediaan cecair sanitasi tangan di pintu masuknya.
Selepas membeli tiket berharga RM5 dan makanan haiwan serendah RM2, bermulalah pengalaman yang indah untuk dinikmati bersama seisi keluarga di atas tanah seluas 2.7 hektar itu.
Haiwan seperti arnab, kuda dan kambing di situ menantikan belaian para pengunjung yang datang dengan makanan.
Jika pengunjung datang pada hari minggu tertentu, mereka berpeluang menyaksikan pameran ular berdekatan pintu masuk.
Beberapa ekor ular termasuk cornsnake dan sawa jenis Burma albino berwarna kuning-putih menyambut kedatangan orang ramai yang masuk ke taman haiwan tersebut.
Pelbagai gelagat orang ramai boleh disaksikan. Ada yang menggeliat kegelian apabila melihat ular-ular tersebut, ada juga kanak-kanak yang takut dan bersembunyi di belakang ibu bapa, tak kurang juga ada yang berani memegang selain bergambar dengannya.

Menurut pemilik Pavilion Petting Zoo, Mohd. Syariff Yahaya, pameran ular tersebut hanya dibuat setiap hujung minggu pada minggu terakhir setiap bulan memandangkan pameran itu hanya jemputan bagi memeriahkan lagi aktiviti di situ.
“Di Pavilion Petting Zoo ini, lebih daripada 40 jenis haiwan dipamerkan dengan majoritinya haiwan jinak yang boleh dipegang, dibelai dan diberi makan secara dekat.
“Petting zoo ini mula dibuka kepada orang ramai pada 22 Februari lalu dan hanya sempat beroperasi selama tiga minggu sebelum operasinya terpaksa ditutup berikutan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada 18 Mac lalu,” kata Mohd. Syariff, 40, kepada Panorama.
Menurutnya, hal itu merupakan satu cabaran baginya yang pernah mempunyai 30 orang pekerja termasuk pekerja sambilan.
“Kini hanya 10 pekerja yang masih bersama saya memandangkan pelaksanaan PKP dan petting zoo ini pula ditutup buat sementara waktu.
“Ini sesuatu yang sangat mencabar kerana pendapatan petting zoo bergantung kepada jualan tiket dan makanan. Jadi bila ditutup, kami sama sekali tiada pendapatan. Malah kami terpaksa mengeluarkan kos sendiri untuk membeli makanan dan rawatan haiwan yang memakan kos sehingga RM10,000 sebulan,” kata bapa kepada enam cahaya mata itu.
Menceritakan bagaimana Pavilion Petting Zoo bermula, isteri Mohd. Syariff iaitu Suriati Hamzah berkata, idea mewujudkan petting zoo sebenarnya tercetus sejak dua tahun lalu apabila mereka sekeluarga suka berkunjung ke zoo sebagai aktiviti hujung minggu.
Suriati berkata, boleh dikatakan mereka akan mengunjungi zoo-zoo di dalam negara apabila ada kelapangan waktu.
“Antara zoo paling dekat untuk kami kunjungi ialah Zoo Taiping & Night Safari selain petting zoo yang ada di Lost World of Tambun.
“Selepas banyak kali berkunjung ke zoo dan petting zoo ini, kami mula terfikir, mengapa kami tidak membela sendiri haiwan-haiwan ini?” katanya yang sebelum ini mengusahakan kedai ikan bakar.
Ceritanya, sejak itu mereka mula berjinak-jinak dengan haiwan ternakan yang senang dipelihara seperti kambing, ayam dan itik yang diternak di belakang restoran ikan bakarnya.
Kesemua haiwan itu dibeli sendiri oleh mereka sekeluarga.

“Pada awalnya kami hanya menternak beberapa ekor kambing di belakang restoran. Sifatnya yang jinak itu menarik pelanggan-pelanggan restoran kami untuk mendekati haiwan tersebut.
“Apabila kami melihat respons yang baik daripada para pelanggan, maka tercetuslah idea untuk kami membuka petting zoo buat orang ramai. Di situlah bermulanya projek Pavilion
Petting Zoo ini selepas kami mula menambah haiwan-haiwan jinak lain termasuk angsa yang tidak mengejar orang,” katanya yang memberitahu restoran ikan bakar itu telah ditutup setelah petting zoo ini dibuka.
Antara haiwan jinak yang terdapat di situ ialah kambing, biri-biri, kuda padi, itik, angsa, arnab dan pelbagai jenis ayam seperti ayam sutera, ayam brahma berbulu di kaki, ayam selasih putih dan ayam belanda. Terdapat juga haiwan yang diletakkan di dalam sangkar seperti kucing, musang pandan, iguana hijau dan pelbagai jenis burung selain ikan di dalam tasik.
Menurutnya, beberapa haiwan yang dipamerkan memerlukan permit dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pihaknya telah memiliki permit tersebut.
Mengenai perancangan masa depan, Mohd. Syariff berkata, pihaknya kini dalam proses membuka petting zoo di Gunung Lang dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh.
“Jangkaannya dalam tahun ini juga akan dibuka. Mungkin bulan November ini siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai pada Disember,” katanya.

Menurut Mohd. Syariff, pihaknya bekerjasama dengan penggiat atau peminat haiwan eksotik untuk memeriahkan lagi petting zoo ini.
Sementara itu, seorang pengunjung, Kamariah Ibrahim, 43, meluahkan rasa teruja dapat menikmati suasana seperti di kampung apabila mendengar bunyi-bunyi haiwan yang bersahutan.
“Tak sangka rupa-rupanya ada petting zoo sebegini di Ipoh. Tempatnya strategik dan sesuai dijadikan tempat menenangkan fikiran selain seronok melihat keletah kanak-kanak bermain dengan haiwan.
“Rasa macam tinggal di kampung. Di kampung pun rasanya susah nak jumpa semua haiwan jinak ini di satu tempat yang sama,” kata suri rumah yang tinggal di Seri Iskandar, Perak Tengah itu.
Seorang lagi pengunjung, Aizuddin Ismail, 35, berkata, sebelum ini dia pernah datang ke tempat ini sebagai pelanggan restoran ikan bakar.
“Dahulu saya pernah datang ke sini tetapi untuk makan ikan bakar. Sekarang ini apabila tempat ini sudah jadi petting zoo, saya bawa keluarga untuk bersantai dan menikmati pengalaman menarik memberi makan pelbagai haiwan jinak di sini.” katanya.














