fbpx

Selebriti popular mula berpurdah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Perubahan positif yang dilakukan pengacara yang juga usahawan terkenal, Neelofa dengan memakai purdah telah mencetuskan fenomena baharu dalam kalangan selebriti wanita tanah air.

Tinjauan Kosmo! Ahad di laman media sosial mendapati beberapa selebriti wanita telah berkongsi dan memuat naik foto masing-masing dalam keadaan berpurdah.

Antara yang mencuri tumpuan ialah penyanyi, Ifa Raziah selain bekas ahli kumpulan Elite, Linda Rafar dan pelakon, Yatt Hamzah.

Berdasarkan kenyataan yang dimuat naik oleh selebriti berkenaan, rata-rata mereka menyambut baik perubahan yang ditunjukkan Neelofa selain memohon doa daripada peminat agar diberikan kekuatan untuk menjadi yang lebih baik.

Yatt atau nama sebenarnya, Hayati Hamzah yang memuat naik gambar dirinya mengenakan purdah berwarna putih me­nyatakan, dia begitu teruja melihat beberapa sahabat yang telah mengenakan purdah.

“Lihat para sahabat sekeli­ling sudah mulakan dulu. Diri jadi teruja. Masha-Allah kuatnya mereka. Jadi inspirasi dan motivasi buat diri ini.

“Mohon doakan bonda bernama Haryati Hamzah ini dan semua wanita lain yang sedang berusaha untuk jadi lebih baik diberikan kekuatan dalam perjuangan ini. Mohon sokongan dan doa semua terutama daripada suami,” tulis pelakon yang mula bertudung sekitar tahun 2012 itu.

Sementara itu, bekas peserta Gegar Vaganza, Ifa Raziah juga tidak ketinggalan untuk bergambar dengan mengenakan purdah.

“Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah SWT,” tulisnya dalam satu hantaran Instagram semalam.

Tidak cukup dengan itu, bekas ahli kumpulan Elite, Linda Rafar turut memuat naik seke­ping gambar memakai purdah dan berjubah.

Linda turut menjadikan Neelofa sebagai inspirasi kepada diri­nya untuk terus menjadi seorang hamba Allah yang bertakwa.

“Linda masih terkejut dengan hidayah yang Allah berikan kepada Neelofa. Dalam masyarakat sibuk mengejar duniawi, dia te­rus istiqamah ke jalan Allah dan menjadi contoh yang baik kepada semua.

“Saya sayangkan awak Nee­lofa. Doakan Linda juga kekal beriman dan terus fokus ke jalan yang diredai Allah,” katanya.

Untuk rekod, sebelum Nee­lofa, Fynn Jamal, Ardell Aryana, Natasha Hudson antara selebriti tanah air yang telah mengenakan purdah.

Bagaimanapun, pada tahun lalu, Natasha dilihat tidak lagi mengenakan purdah kerana dikatakan telah mendapat izin suami­ untuk berbuat demikian. Begitu juga dengan Ardell Aryana.