fbpx

Daerah Masjid Tanah menjelang 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Idris (kiri) merasmikan pembukaan cawangan ke-8 Al-Ikhlas Gadget di Klebang Utama, di sini, hari ini.

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD

MELAKA – Melaka akan mempunyai sebuah lagi daerah penuh di Masjid Tanah selewat-lewatnya pada 2025 bersama-sama tiga lagi daerah sedia ada iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Idris Haron berkata, kewujudan daerah keempat itu dijangka bakal membawa manfaat kepada kira-kira 120,000 penduduk.

Menurutnya, berdasarkan perancangan setakat ini antara kawasan yang akan terlibat adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi; Tanjung Bidara; Ayer Limau dan Lendu yang kini berada di bawah pentadbiran Daerah Alor Gajah.

“Manakala sebahagian DUN Taboh Naning turut akan berada di bawah Daerah Masjid Tanah dan sebahagian lagi kekal dalam Daerah Alor Gajah.

“Sehingga kini terdapat keseluruhan 230,000 penduduk di Alor Gajah yang merangkumi Masjid Tanah, justeru dengan wujudnya daerah baharu itu kita mampu memberikan perkhidmatan lebih berkesan kepada penduduk di kedua-dua kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali merasmikan pembukaan cawangan ke-8 Al-Ikhlas Gadget di Klebang Utama, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata, struktur pentadbiran daerah tersebut turut akan melibatkan jawatan-jawatan pegawai di peringkat daerah termasuk Pegawai Daerah, selain mewujudkan peluang pekerjaan dan perkhidmatan kepada penduduk setempat.

Ujarnya, penentuan sempadan fizikal akan dilakukan untuk mengasingkan kedua-dua daerah berkenaan, namun berdasarkan perancangan semasa kawasan berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah dicadangkan menjadi garis pemisah.

“Setakat ini semua jentera dan unit kerajaan sedang memberi fokus kepada kerja-kerja pengumpulan data serta maklumat bagi membolehkan penubuhan daerah ini dapat dibawa kepada kerajaan Persekutuan dan seterusnya mendapat kelulusan kabinet secepat mungkin.

“Berdasarkan pengalaman kita menaik taraf Majlis Daerah Alor Gajah kepada Majlis Perbandaran sebelum ini serta menjadikan Sungai Rambai sebagai daerah kecil, maka tidak mustahil pembangunan tersebut dapat direalisasikan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI