fbpx

18 kontak rapat Zulkifli bebas Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian peserta yang menghadiri penganjuran PKPSN 2020 pada 28 hingga 30 September lalu.

Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL

PUTRAJAYA – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) memaklumkan keputusan negatif Covid-19 diperoleh oleh kesemua 18 kontak rapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menghadiri Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara (PKPSN) 2020 pada 28 hingga 30 September lalu.

Ini sekali gus membuktikan penganjuran PKPSN 2020 selama tiga hari itu telah menjalankan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ketat bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, 18 kontak rapat yang dikenal pasti telah menjalani saringan kesihatan pada 6 Oktober lalu dengan pengambilan sampel untuk ujian Pengesanan Jangkitan Covid-19 dan diberikan Surat Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selama 14 hari.

Menurutnya, keputusan awal saringan pertama telah diperoleh dan kesemua kontak rapat tersebut didapati negatif dan bebas daripada wabak Covid-19.

“Bagaimanapun, semua kontak rapat tersebut perlu meneruskan kuarantin kendiri bagi mencukupkan tempoh 14 hari dan melakukan ujian calitan kedua seperti arahan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pada hari ini, dua pegawai terakhir bagi 18 pegawai yang tersenarai sebagai kontak rapat telah menerima keputusan negatif hasil ujian calitan kedua dan kesemuanya telah diberikan pelepasan sepenuhnya dengan pemotongan gelang kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Na’im yang Ketua Hakim Syarie berkata, keputusan tersebut telah membuktikan bahawa PKPSN 2020 pada 28 hingga 30 September lalu telah dilaksanakan mengikut garis panduan yang ketat sebelum dan semasa persidangan tersebut dilaksanakan.

Beliau berkata, terdapat beberapa agensi yang turut membantu agar SOP yang dijalankan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Antara agensi tersebut ialah KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Katanya, pihak Hotel Movenpick dan Pullman Hotel juga melaksanakan proses pembersihan dan disinfeksi setiap hari di semua tempat yang terlibat dengan persidangan sehari sebelum program dilaksanakan sehinggalah hari terakhir persidangan tersebut berakhir.

“Kehadiran semua peserta, urusetia, jemputan direkodkan melalui QR code pendaftaran dan MySejahtera dipintu masuk utama yang dibantu oleh Anggota Pertahanan Awam Malaysia dan ahli jawatankuasa keselamatan, kebajikan dan lalu lintas PKPSN 2020 yang dilantik.

“Pemantauan protokol sepanjang program perasmian dan penutup berlangsung juga turut dibantu oleh Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA) Jabatan Perdana Menteri.

“Semua urusetia dan peserta yang hadir pada setiap slot ceramah diwajibkan melalui pemeriksaan suhu, menggunakan pencuci tangan, memakai pelitup muka di dalam dan di luar dewan serta menjaga penjarakan fizikal untuk tujuan keselamatan,” katanya.

Tambahnya, ketika majlis berlangsung, pihak KKM menyediakan pasukan pelindungan perubatan tahap satu dengan kekuatan anggota yang dihadiri oleh pakar perubatan, pegawai perubatan, jururawat terlatih dan sebuah ambulans bagi membantu kelancaran perasmian.

“Pihak hotel juga menyediakan bilik kecemasan dan kesihatan yang dilengkapi dengan peralatan bagi memastikan peserta dalam keadaan yang baik,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI