fbpx
ROSYAM NOR

Usah bangga dengan gelaran jutawan – Rosyam Nor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH kemewahan hidup golongan selebriti tanah air kini menjadi antara topik menarik yang mengundang banyak telahan golongan netizen. Biarpun rata-rata selebriti mendakwa, kemewahan yang ditonjolkan itu bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk, namun ada sahaja persoalan sengaja dibangkitkan netizen.

Bagi sesetengah selebriti juga, mengakui status diri sebagai jutawan bertujuan memberi inspirasi kepada peminat berusaha dan berjaya seperti mereka.

Berbeza pula pandangannya dengan ahli perniagaan, penerbit dan pelakon, Datuk Rosyam Nor, 53, yang enggan dikenali sebagai jutawan atau orang kaya walaupun mengusahakan pelbagai jenis perniagaan.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin itu juga tidak mahu menghukum atau mengecam mana-mana pihak yang mengakui diri mereka sudah berada dalam kategori jutawan. Ikuti temu bual HibGlam bersama pelakon yang pernah popular menerusi filem KL Gangster 2 yang ditemui pada sidang akhbar filem Juang di ibu negara baru-baru ini.

ROSYAM tidak mengecam atau memandang sebelah mata kepada mana-mana selebriti yang secara
terang-terangan menonjolkan kemewahan atau mengakui status bergelar jutawan.
– FARIZ RUSADIO

KOSMO!: Sejak kebelakangan ini, ramai selebriti tanah air terutama golongan muda yang mengakui mereka layak digelar jutawan dan berharta. Apa pendapat anda mengenai situasi tersebut?

ROSYAM: Saya hormati dengan tindakan mereka yang berani mengakui berstatus sebagai jutawan. Pengakuan tersebut tidak pernah salah, tetapi perkara itu boleh memberi kesan, sama ada positif atau negatif.

Kalau mereka yang mendengar berita itu beroleh manfaat, perkara itu patut dijadikan contoh dan dorongan kepada orang lain untuk sama-sama berjaya. Namun jika dilihat daripada sudut negatif, pengakuan jutawan itu sebenarnya boleh merosakkan industri seni.

Anda juga seorang usahawan, bahkan memiliki perniagaan lebih besar berbanding kebanyakan orang. Adakah anda juga salah seorang jutawan dan mengapa tidak pernah mengakui perkara itu?
Pengakuan sebegitu terpulang kepada diri sendiri. Itu kerja keras dan penat lelah mereka terbayar. Cara saya sangat berbeza, cukuplah hanya dikenali ahli perniagaan yang aktif dalam bisnes.

Sama ada saya jutawan atau tidak, perkara itu biarlah saya sahaja yang tahu. Definisi jutawan saya berbeza berbanding orang lain.

Apakah definisi jutawan bagi anda?
Bagi saya, jutawan adalah seseorang yang mempunyai wang tunai yang banyak dan tidak berhutang dengan mana-mana bank atau agensi.

Jadi, saya tidak rasa yang diri saya seorang jutawan sebab masih ada banyak hutang perlu diselesaikan. Tidak sesuai rasanya dengan gelaran gah tersebut. Banyak kontranya apabila seseorang itu mengakui jutawan, contohnya tentang aspek keselamatan yang memerlukan kita lebih waspada dan tidak mudah terpedaya.

Dunia sekarang sangat menakutkan, jadi memang kena berhati-hati.

Pada pendapat anda, apakah perbezaan antara kekayaan artis dahulu dan sekarang?

Artis lama seperti saya perlu bekerja keras untuk mencari rezeki. Sangat sukar. Artis dahulu juga perlu berusaha menjual bakat yang ada sekiranya ingin merebut peluang dipilih sebagai duta produk oleh syarikat terkemuka sebagai usaha menambah pendapatan.

Zaman sekarang semuanya mudah. Duit di hujung jari sahaja. Saya lihat ramai artis pada hari ini semakin aktif dalam media sosial. Mereka membuat reviu produk dan bayaran yang diterima sangat lumayan. Pendek kata, cabang untuk peroleh pendapatan sampingan memang banyak.

BUKAN sahaja dalam bidang perfileman dan penerbitan naskhah televisyen, Rosyam juga seorang usahawan tani yang berjaya.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu kerjaya anda?
Saya bakal menerbitkan sebuah filem pada tahun ini, iaitu Juang yang akan menampilkan Zizan Razak dan Zul Ariffin sebagai pelakon utama. Juang merupakan filem terbitan syarikat produksi saya, Suhan Movies & Trading dan bakal menelan belanja sebanyak RM6 juta.

Saya percaya filem yang berkisarkan tentang perjuangan petugas barisan hadapan menentang penularan Covid-19 itu bakal mendapat tempat dalam hati peminat filem tanah air. Lebih teruja, filem ini bakal diarahkan enam pengarah tersohor, melibatjan 100 pelakon dan 200 kru.  Saya pasti Juang akan menjadi sebuah filem epik apabila ditayangkan nanti.

BERITA BERKAITAN