fbpx

K2

KKK bimbing wanita hasilkan kraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DARI kiri, Nurazlina, Rosmawati, Khamisah dan Mislina menunjukkan hasil kraf yang dihasilkan mereka.

TIGA wanita tidak menyangka hasrat mereka mempelajari teknik batik ikat celup atau shibori sekadar suka-suka akhirnya dapat menjana pendapatan sampingan sekali gus membantu ekonomi keluarga.

Mislina Mugiyuo, 34, Nurazlina Mohamad Mohed, 41, dan Khamisah Jamaluddin, 43, mempelajari teknik tersebut pada program Kraf Komuniti Ku (KKK) anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) pada Ogos tahun lalu.

Setelah setahun mengikuti program itu, tiga wanita tersebut gembira kerana jualan daripada kraf batik ikat celup itu memungkinkan mereka menampung serba sedikit perbelanjaan keluarga.

Menurut Mislina yang juga seorang suri rumah, selepas mengetahui kaedah penghasilan batik ikat celup itu, dia bersama seorang rakan, Nurazlina menghasilkan pakaian dan aksesori seperti kemeja-T, tudung dan selendang.

“Corak daripada batik ikat celup ini lain daripada yang lain, namun tetap cantik dipakai.

“Kami baru menjalankan perniagaan ini serta mempromosikannya di Facebook serta Instagram dan sambutan diterima amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui pada program KKK siri terbaharu di Putrajaya baru-baru ini yang memasuki siri ketiga.

 

PARA peserta dibimbing membuat jahitan pelitup muka dan beg pada program KKK terbaharu yang berlangsung pada Ogos lalu.

 

Dalam pada itu, Nurazlina yang merupakan kakitangan awam berkata, biarpun sibuk bekerja pada sebelah siang, dia tetap meluangkan masa antara pukul 8 malam hingga 2 pagi bagi menyiapkan barangan jualan.

Meskipun diusahakan di rumah dalam ruang terhad, dia tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak menyiapkan tempahan yang diterima.

“Semua pembuatan batik ikat celup dibuat di rumah dan saya juga ada menerima tempahan terutama selendang dan tudung daripada rakan-rakan sepejabat yang turut memuji hasil kerja kami,” katanya.

Sementara itu, Khamisah memberitahu, dia mempunyai pelanggan tetap dari Singapura dan Filipina.
“Saya membuat kain pasang dan selendang daripada batik ikat celup dan ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya yang mengusahakan butik pengantin dan jahitan di Puchong, Selangor.

Program KKK adalah kerjasama PPj dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Tahun ini, program itu diadakan pada 15 dan 16 Ogos serta pada 24 dan 25 Oktober.

Seramai 60 peserta terbabit dalam bengkel tersebut dan tahun ini mereka diajar membuat pelitup muka, beg selain kraf sulaman reben.

Dalam pada itu, seorang lagi wanita yang mengikuti program KKK bagi kursus jahitan sebelum ini, Rosmawati Romli berkata, dia kini turut mengusahakan produk jahitan.

“Antara produk jahitan yang saya jual adalah bantal leher, penutup mata dan pelindung pasport.

“Hasil jualan ini dapat menjana pendapatan sampingan. Saya berpendapat, program dianjurkan PPj ini bagus terutama kepada golongan B40, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan suri rumah yang mahu membantu keluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI