fbpx

Inspektor polis didakwa terima suapan RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima suapan RM10,000, dua tahun lalu.

Mohd. Aimi Mahjuddin,35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang didakwa menerima suapan RM10,000 dari seorang individu berusia 46 tahun sebagai dorongan mengurangkan jumlah pertuduhan terhadap anaknya yang ditangkap atas kesalahan memiliki barangan curi.

Perbuatan itu dilakukan di Jamek Bistro, Taman Sentosa Villa pada 22 Mei 2018 kira-kira pukul 9.10 malam.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak melebihi lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mohd. Aimi berasal dari Kedah itu juga didakwa pertuduhan pilihan iaitu menerima wang tunai RM10,000 dengan tiada balasan dari seorang individu yang mana kamu tahu ada kaitan dengan tugas rasmi.

Menurut pertuduhan tersebut, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan sekiranya disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tuan Attfina Tuan Kamaluddin menawarkan wang jaminan sebanyak RM13,000.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan memohon mahkamah pengurangan jaminan selain anak guamnya sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM sejak 2018.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, melaporkan diri ke SPRM Selangor setiap awal bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah dari tempoh satu bulan bermula hari ini walaupun telah tamat tempoh.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 17 November depan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI