fbpx

IMR jemput bekas pesakit Covid-19 terlibat kajian penyelidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan menjemput rakyat Malaysia yang pernah dijangkiti kuman Covid-19 untuk menyertai satu kajian penyelidikan tindak balas antibodi.

Menerusi hantaran di Facebook yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, sekumpulan penyelidik daripada IMR dilantik untuk mengendalikan kajian berkenaan.

“Sekumpulan penyelidik dari IMR di Institut Kesihatan Negara, Kementerian Kesihatan menjemput rakyat Malaysia yang pernah dijangkiti kuman Covid-19 untuk menyertai penyelidikan perubatan itu.

“Kajian itu bertajuk kajian membujur (Longitudinal Study) tindak balas antibodi neutralisasi dalam kalangan pesakit Covid-19 di Malaysia.

“Kajian ini penting bagi mengetahui paras antibodi neutralisasi (imuniti) di dalam darah yang boleh menghalang kuman Covid-19 dari menjangkiti pesakit yang pernah dijangkiti sebelum ini,” katanya.

Noor Hisham memaklumkan, penyelidikan ini telah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC) KKM (NMRR-20-1676-55108).

Mereka yang berminat menyertai kajian itu boleh menghubungi Dr. Rafiza Shaharudin menerusi email [email protected] atau telefon 03-33627753 dan Dr. Masita Arip ([email protected] ) atau telefon 03-33627735.

Setakat hari ini, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 11,372 kes iaitu 67.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Malah, hari ini sahaja, jumlah kes yang telah pulih Covid-19 adalah 350 kes iaitu jumlah yang tertinggi direkodkan sejak permulaan pandemik di negara ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI