Oleh SUBKHI SUDARJI
PUTRAJAYA – Semua program-program sukan di bawah kendalian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan agensi di bawahnya yang telah dirancang perlu ditangguhkan sehingga 31 Oktober depan.
Penangguhan itu tidak melibatkan latihan harian sukan bagi atlet-atlet yang berada di bawah program latihan sepenuh masa Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, program dan acara sukan bukan anjuran KBS boleh diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan arahan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Latihan harian sukan bagi program MSN dan Persatuan Sukan Antarabangsa tetap berjalan seperti biasa dengan mematuhi kawalan pergerakan dan pematuhan SOP sepenuhnya.
“Semua atlet negara, jurulatih, pegawai sukan dan semua pegawai serta staf sokongan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung agar tidak mengambil mudah SOP yang telah ditetapkan dan sentiasa mengamalkan kawalan kendiri selain mengikuti saranan-saranan yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, atlet, jurulatih dan pegawai yang menjalani latihan sepenuh masa dan menginap di asrama pusat latihan MSN dilarang pulang ke kampung halaman masing-masing sehingga 31 Oktober kecuali bagi kes kecemasan dan mendapat kebenaran daripada MSN.
Katanya, semua atlet perlu mematuhi arahan kawalan atau larangan pergerakan keluar masuk asrama bermula 12 Oktober sehingga 31 Oktober depan.
“Pergerakan atlet hanya terhad kepada asrama dan tempat latihan termasuk gimnasium atau klinik mengikut jadual masa, penjarakan fizikal dan mengikut SOP yang ditetapkan.
“Setiap atlet juga hanya dibenarkan keluar dari asrama seminggu sekali sahaja untuk ke satu lokasi tetap dengan kebenaran pengurus sukan dan jurulatih masing-masing,” katanya.
Reezal Merican berkata, atlet, jurulatih dan pegawai yang telah melakukan pergerakan keluar dan masuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Kedah dan Klang atau kawasan zon kuning dan zon merah dalam masa seminggu kebelakangan ini dilarang kembali ke asrama pusat latihan MSN sehingga 31 Oktober.
Beliau berkata, atlet, jurulatih dan pegawai sukan hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP yang telah dikuatkuasakan oleh pihak KKM dan MKN serta SOP Sukan dan Rekreasi yang telah ditetapkan sebelum ini dan arahan baru yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
Katanya, sekiranya mendapati suhu badan melebihi sepatutnya, mereka dikehendaki melaporkannya ke Pusat Perubatan Sukan, Institut Sukan Negara (ISN) atau klinik yang berdekatan untuk tindakan lanjut.
“Sekiranya mereka disyaki mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19, atau mempunyai simptom berkaitan, perlulah juga melaporkan diri ke Pusat Perubatan Sukan ISN bagi tindakan lanjut. Proses kuarantin perlu dipatuhi sepenuhnya jika diminta berbuat demikian.
“Pergerakan pegawai MSN dan ISN bagi menyediakan perkhidmatan sokongan juga akan diasingkan laluan dan sentiasa memastikan penjarakan fizikal semasa berjumpa untuk urusan penting sahaja dan perlu dihadkan masa perjumpaan,” katanya. – K! ONLINE














