fbpx

Pengantin ‘kejar’ tok kadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB
dan ISKANDAR SHAH MOHAMED

KLANG – Macam majlis gra­duasi. Demikian gambaran yang boleh diberikan mengenai suasa­na di Pejabat Agama Islam Da­erah (PAID) Klang apabila ratusan bakal pengantin beratur me­nunggu giliran untuk dinikahkan.

Upacara mengikut prosedur operasi standard (SOP) itu berlangsung selama 15 jam bermula pukul 9 pagi sebelum kesemua 118 pasangan mempelai yang sepatutnya melangsungkan per­kahwinan dalam tempoh dua minggu ini berjaya dinikahkan secara bergilir-gilir.

Pasangan pengantin bertindak demikian susulan pengumuman kerajaan yang mengaktifkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Klang selama 14 hari bermula kelmarin.

Pengarah Jabatan Agama Is­lam Selangor (JAIS), Mohd. Shah­zihan Ahmad berkata, pihaknya telah menyediakan lima pendaf­tar nikah untuk upacara tersebut.

Katanya, proses pernikahan juga tidak mengambil masa panjang dengan khutbah nikah pendek dibacakan oleh jurunikah tersebut.

“Kesemua pasangan yang se­patutnya melangsungkan maj­lis akad nikah dalam tempoh dua minggu ini telah dimaklumkan mengenai proses pernikahan tersebut selepas pengumuman PKPB itu.

“Pejabat agama daerah juga diminta untuk bersedia berdepan situasi tersebut terutama pada Sabtu dan Ahad yang dijangka kehadiran bakal pengantin yang lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

 

SEBAHAGIAN daripada 118 pasangan pengantin beratur menunggu giliran untuk dinikahkan di PAID Klang malam kelmarin.

 

Sehubungan itu, Mohd. Shah­zihan menegaskan PAID Klang akan beroperasi termasuk Sabtu dan Ahad untuk memudahkan proses melaksanakan akad nikah khususnya kepada pasangan di kawasan PKPB.

Bagaimanapun, ujarnya, apa yang menjadi masalah adalah sekatan yang akan dikenakan atau dihadapi oleh pihak pengantin untuk bergerak ke PAID.

“Di Selangor, akad nikah masih ditetapkan hanya di masjid dan tempat lain tidak boleh. Apabila aktiviti di masjid ditangguhkan susulan PKPB, maka urusan pernikahan dilakukan di PAID,” katanya.

Terdahulu gambar pengantin beratur di PAID Klang tular di laman sosial Facebook.

Pemilik akaun Facebook itu, Sheikh Amer Haziq, 24, berkata, suasana di lokasi tersebut diibaratkan seperti ­majlis graduasi.

“Saya menganggarkan lebih 40 pasangan dinikahkan semalam (kelmarin) antara pukul 6 petang hingga 11 malam.

“Jumlah itu agak ramai dan saya ditugaskan sebagai jurugambar untuk satu pasangan yang dinikahkan pada pukul 9.30 malam,” katanya yang tidak me­nyangka posting tersebut tular.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI