fbpx

Lelaki kudung mohon bantuan kerusi roda automatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAS IMRAN (kiri) menyerahkan sumbangan keperluan harian buat keluarga Siti Suhana (kanan) di kediamannya di Taman Universiti, Skudai semalam.

JOHOR BAHRU – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Begitulah bebanan yang ditanggung Siti Suhana Abdullah, 35, yang menjaga bapa angkatnya, Misdi Jumali, 71, yang kudung kedua-dua belah kaki a­kibat pe­nyakit kencing manis, selain sakit darah tinggi dan kanser usus sejak enam tahun lalu.

Bukan itu sahaja, suri rumah berkenaan turut diuji apabila anak sulungnya, Iskandar Zulkarnain Azwan Isaidi, 12, disahkan menghidap kanser darah dan limfoma April tahun lalu.

Menurut Siti Suhana, penyakit kencing manis yang dihidapi bapanya itu bertambah kronik menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong dua tahun lalu, manakala kaki kanannya dipotong pada 18 September lalu.

“Selain itu, mata sebelah kiri­nya juga telah buta. Kini, semua­nya diuruskan ibu dan saya dibantu suami kerana bapa tidak mampu bergerak akibat kesihatannya semakin merosot,” kata­nya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Persiaran 29, Taman Universiti, Skudai di sini semalam.

Bercerita lanjut, kata ibu kepada lima cahaya mata itu, setiap bulan dia memerlukan RM3,000 bagi menampung keperluan bapanya termasuk perbelanjaan ulang-alik rawatan dialisis serta lampin pakai buang.

Katanya, bapanya juga menerima bantuan bulanan bagi rawatan dialisis dan kerusi roda daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Siti Suhana berkata, suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan kurang RM2,000 untuk menampung perbelanjaan sembilan isi rumah termasuk anak yang sedang sakit kanser.

“Saya membantu meringankan beban suami dengan menjual tudung secara online.

“Kami berharap ada pihak yang sudi menyumbang kerusi roda automatik buat bapa bagi memudahkan pergerakannya,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu meringankan beban keluarga Siti Suhana dengan menyalurkan bantuan lampin pakai buang serta barang keperluan harian.

Mereka yang mahu membantu boleh menghubungi Siti Suhana di talian 019-743 1909 atau menghulurkan bantuan ke akaun RHB Misdi, 11803400072593.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI