fbpx

Berhenti mencarut, sentiasa jaga adab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NUR HUDA MUSA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Perkembangan teknologi dan komunikasi di negara ini menjadikan rakyat Malaysia antara pengguna media sosial yang ter­tinggi di dunia.

Hasil pembangunan teknologi turut membuka banyak ruang kepada rakyat pelbagai peringkat umur untuk sama-sama meng­akses maklumat secara mudah.

Bagaimanapun, perkemba­ngan teknologi maklumat dan media sosial ini jika tidak dikawal boleh memberi kesan buruk terhadap budaya ketimuran masyarakat Malaysia.

Sejak kebelakangan ini, kita sering disajikan pelbagai bentuk bahan yang ditularkan me­ngandungi kata-kata kesat yang tidak melambangkan budaya dan bahasa rakyat negara ini.

Kata-kata kesat dan makian kini dilihat sudah menjadi kebiasaan masyarakat sehingga mempengaruhi generasi muda untuk merasakannya sebagai sesuatu yang normal.

Apatah lagi, kata-kata kesat ini turut diucap oleh orang-orang yang berpengaruh seperti ahli politik, selebriti dan ‘influencer’ media sosial.

Sebagai contoh, isu ini dilihat semakin menjadi-jadi apabila terlalu banyak kontroversi yang timbul susulan peningkatan kes jangkitan wabak Covid-19.

Antaranya, kisah seorang individu ternama yang disahkan positif Covid-19 sehingga kecoh di laman media sosial yang me­nyaksikan netizen bersekongkol ‘menyerang’ individu terbabit.

Sebagai rakyat biasa, penulis faham, masyarakat berasa marah dan terkilan dengan tindakan individu itu yang tidak menjalankan tanggungjawabnya dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, dalam menyua­rakan rasa tidak puas hati, adab berbicara perlu dijaga, te­rutama apabila bercakap kepada individu yang lebih berusia.

Perasaan penulis bercampur-baur apabila membaca segala cacian daripada netizen yang sememangnya ditujukan khas kepada individu terbabit.

Pakar Psikologi, Dr. Meriam Omar Din berpendapat, rakyat seolah-olah telah hilang nilai-nilai murni dan kemanusian sehingga sikap biadab itu dapat di­lihat dalam diri kalangan ge­nerasi muda.

“Tanpa kita sedar, negara kita sudah terlalu lama tekankan nilai material sahaja. Sebagai contoh, perkara yang sering dibanggakan ialah kejayaan seseorang, pencapaiannya dan berapa banyak harta yang seseorang itu miliki.

“Nilai-nilai murni yang memfokuskan kepada adab seperti sudah tidak ditekankan oleh semua pihak sehingga sikap negatif seolah-olah sudah menjadi budaya rakyat di negara ini,” kata­nya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, situasi itu me­nunjukkan kegagalan membentuk generasi muda memahami etika dan susila berkomunikasi dalam media sosial.

“Orang ramai perlu sedar, penggunaan media sosial kini sangat meluas. Apa sahaja yang dimuat naik, ia akan dilihat oleh pelbagai peringkat umur dan latar belakang manusia.

“Amat membimbangkan jika hamburan bahasa kesat ini bertebaran secara berlelua­sa dan diterima sebagai budaya bagi masyarakat Malaysia dalam media sosial,” ujarnya.

Menurutnya, ia juga secara tidak langsung telah memberikan imej negatif kepada rakyat Malaysia.

Oleh itu katanya, bermula saat ini, semua pihak perlu secara serius mendidik generasi muda dan masyarakat dengan tatasusila dan etika berkomunikasi di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI