fbpx

15 kompaun langgar SOP dikeluarkan setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Boon Keng (tengah, depan) bergambar bersama Persatuan Keselamatan Sukarela Rakyat Kawasan Bagan Serai ketika membuat lawatan julung kali ke kawasan Bagan Serai.

Oleh WAT KAMAL ABAS

BAGAN SERAI – Sebanyak 15 kompaun secara purata dikeluarkan polis Perak setiap hari di negeri ini atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, pihak polis sentiasa membuat pemantauan terhadap pematuhan SOP di tempat awam termasuk premis perniagaan.

“Polis sentiasa memantau premis perniagaan dengan melihat kelengkapan seperti penyediaan buku catatan nama, cecair sanitasi tangan dan pengimbas suhu. Di samping itu, pemantauan terhadap pematuhan penjarakan fizikal juga turut dilakukan.

“Perak berada di Zon Hijau agak lama dan orang ramai agak leka sedikit. Jadi sebagai inisiatif tambahan, pihak polis menggunakan kenderaan unit peronda (MPV) dengan membuat hebahan siar raya sebagai memberi ingatan agar patuh kepada SOP tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan ke daerah ini hari ini.

Tambah Boon Keng, orang ramai kini banyak yang leka tentang penjarakkan fizikal dan bagi mereka yang masih degil, kompaun akan dikeluarkan.

“Bagaimanapun, secara keseluruhannya di Perak, sikap pematuhan orang ramai terhadap SOP yang ditetapkan amat memuaskan.

“Polis ingin menasihatkan agar kanak-kanak, warga emas dan sesiapa yang mempunyai masalah kesihatan untuk tidak berada di tempat awam yang sesak seperti di kompleks beli-belah, pasar malam dan pasar tani,” katanya.

Berkenaan Sekatan Jalan Raya (SJR), beliau berkata, terdapat sembilan SJR dilaksanakan dan polis telah menambah dua lagi di sempadan Parit Buntar-Bandar Baharu dan Tanjung Malim-Behrang.

“Kita akan mengkaji dari semasa ke semasa keperluan SJR pada masa ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Boon Keng memuji Persatuan Keselamatan Sukarela Rakyat Kawasan Bagan Serai dalam kerana banyak membantu polis di Daerah Kerian dalam menyalurkan maklumat bagi mencegah aktiviti jenayah di kawasan ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI