fbpx

Lelaki cabar enakmen seks luar tabii gagal mohon rahsia identiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peguam A.Surendra Ananth yang mewakili pemohon ketika ditemui di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Seorang lelaki yang menghadapi pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah atas dakwaan cuba melakukan seks luar tabii gagal dalam permohonannya untuk identitinya dirahsiakan dari sebarang publisiti di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan demikian selepas menolak permohonan pempetisyen selaku pemohon yang berusia 35 tahun itu termasuk mendengar hujah daripada kesemua pihak.

Pihak-pihak itu terdiri daripada peguam yang mewakili pempetisyen selain dua responden iaitu Kerajaan Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai Amicus Curiae (sahabat kepada mahkamah)

“Mahkamah mendapati tiada sebab meyakinkan yang dikemukakan (pempetisyen) bagi membolehkan perintah tanpa nama dibenarkan,” kata Abang Iskandar.

Justeru Hakim Abang Iskandar memerintahkan pempetisyen membayar kos RM1,000 masing-masing terhadap dua responden.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Disember ini bagi pendengaran kes seterusnya.

Terdahulu semasa berhujah, peguam A.Surendra Ananth yang mewakili pemohon memaklumkan bahawa jika nama pempatisyen disiarkan dalam laporan media, ia akan mengundang risiko keselamatan dan privasinya.

Sementara Penolong Penasihat Undang-Undang yang mewakili Kerajaan Selangor Siti Fatimah Talib berhujah, pempetisyen bukanlah kanak-kanak yang mana identiti dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan kepada awam.

“Dalam kes ini tiada keadaan khas untuk mewajarkan tanpa nama terhadap pempatisyen selain tiada laporan polis samaada pempetisyen diugut atau terancam,” katanya.

Pada 27 Mei lalu, mahkamah sama membenarkan untuk pemohon memulakan prosiding mencabar keperlembagaan peruntukan dalam undang-undang Syariah Selangor yang digunakan untuk mendakwanya.

Hakim Abang Iskandar membenarkan permohonan lelaki itu, untuk memulakan prosiding menerusi petisyen terhadap Kerajaan Selangor untuk diisytiharkan bahawa Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1985 adalah tidak sah.

Lelaki itu mendakwa Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang itu.

Dalam penghakimannya bertarikh 14 Mei, Hakim Abang Iskandar berkata permohonan lelaki itu memenuhi syarat iaitu kebenaran diperlukan dan adalah perlu kerana pemohon (lelaki itu) telah menunjukkan aduannya melibatkan persoalan sama ada Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor kompeten untuk menggubal undang-undang yang telah tersenarai dalam Senarai Persekutuan.

Beliau juga berkata permohonan itu tidak wajar dianggap, demi untuk keadilan, sebagai semberono atau menyalahgunakan proses mahkamah, dan menurutnya pemohon telah menunjukkan yang dia mempunyai kes yang boleh dihujahkan.

Pada 21 Ogos, tahun lalu Ketua Pendakwa Syarie menerusi pendakwa Syariah memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 28 Enakmen terhadap pemohon di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Pemohon dituduh cuba melakukan persetubuhan luar tabii dengan lelaki lain di dalam sebuah rumah di Selangor pada 9 November 2018.

Lelaki itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan perbicaraannya di Mahkamah Syariah telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonannya untuk mencabar peruntukan perlembagaan dalam enakmen itu yang digunakan untuk mendakwanya.

Pemohon memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding terhadap Kerajaan Selangor di bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan pada 28 November 2019.

Pemohon mendakwa Seksyen 28 dalam enakmen itu adalah perkara yang tersenarai dalam Senarai Persekutuan dan sepatutnya dikemukakan menurut undang-undang persekutuan iaitu Kanun Keseksaan.

Beliau mendakwa Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor telah melangkaui senarai persekutuan dengan menggubal undang-undang yang sudah tersenarai dalam senarai itu.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI