fbpx
SALAHKU, single terbaharu Yonnyboii

Yonnyboii, penyanyi, komposer kaya idea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAGU Salahku semakin meniti di bibir pendengar selepas didendangkan Yonnyboi dalam program MeleTOP baru-baru ini.

Dan, penulis tidak segan untuk mengakui sangat cenderung memerhatikan kehebatan bakat pemilik nama lengkap Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin itu, bahkan kemampuannya mencipta dan menulis lagu.

Secara peribadi, Salahku bukan sekadar karya tipikal yang melalui titian populariti, bahkan sebuah produk yang mampu berhubung dengan sesiapa yang mendengarnya.

MUZIK video Salahku nyanyian Yonnyboii kini sudah mencatat lebih tiga juta tontonan sejak dilancarkan dalam YouTube sebulan lalu.

Menghayati Salahku, karya tersebut seperti luahan peribadi penulis tentang apa yang terbuku di hati atau apa yang sedang dirasai.

Itu antara kualiti yang perlu ada dalam diri seorang pemuzik. Sama ada disengajakan atau tidak, Yonny seperti mewakili hati setiap orang dalam karyanya.

Berdurasi tiga mini 56 saat, seperti biasa, lirik sentuhan Yonny tidak pernah gagal.

Secara dasarnya, lagu ini memberi epitome situasi berdepan masalah atau lagi tepat, kemurungan. Diselitkan juga dengan mesej-mesej perjuangan dan kekuatan untuk bangkit dalam hidup.

Apabila berlaku perkara tidak diingini, orang mudah menuding jari bahawa kitalah penyebab berlakunya kesilapan tersebut. Memburukkan lagi keadaan, apabila kita menyalahkan diri sendiri sebagai punca masalah.

Seperti lirik yang berbunyi:

“Maafkan aku jika aku bersalah, ku hanya ikut hati yang berkata benar.”

Buat penulis, mesejnya ringkas. Kebanyakan masa kita rasa bersalah, namun kita hanya buat apa yang kita mahu buat.
Soal komposisi muzik boleh disifatkan sangat cocok dengan lirik yang dicernakan Yonny. Setiap butir perkataan yang dilontarkan ‘duduk selesa’ dengan melodi yang dimainkan.

Permainan dentingan piano pada permulaan muzik juga menarik perhatian. Mendengarkan muzik sebegitu, sudah terbayang bahasa tubuh Yonny menyanyikan lagu tersebut.

Kenapa bahasa tubuh? Jawapannya, kerana Yonny akan melakukan persembahan yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Dia memberi makna kepada setiap butir kata yang

diucapkan.

Kepada Yonny, teruskan berkarya. Jangan terpotong atau terhanyut kritikan dan motivasi orang yang menyatakan anda ‘Billie Eilish’ Malaysia.

Syabas untuk kejayaan muzik video rasmi Salahku yang berjaya mengumpul tiga juta tontonan dalam tempoh sebulan!

BERITA BERKAITAN