fbpx

[VIDEO] Safawi ke Portugal untuk bukti kemampuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAFAWI Rasid berlepas ke Portugal untuk melengkapkan perpindahan ke kelab Portimonense SC di KLIA, Sepang sebentar tadi. - FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Pemain sensasi skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid berlepas ke Portugal malam ini bagi melengkapkan perpindahan secara pinjaman ke kelab Liga Premier, Portimonense SC.

Terdahulu, Safawi berjaya membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri semalam.

Safawi mengakui cukup teruja untuk menjadi pemain kedua berkelana ke liga utama Eropah selepas Luqman Hakim Shamsuddin yang menyertai KV Kortrijk di Belgium Ogos lalu.

Kata Safawi, perasaannya ketika ini bercampur baur kerana impiannya untuk beraksi di Eropah akhirnya menjadi kenyataan.

“Saya akan berada di sana selama semusim dan secara jujur, sangat teruja apabila akhirnya berjaya berhijrah ke Eropah. Kini adalah misi saya untuk membuktikan bahawa pemain dari Asia turut mampu mencipta nama di sana.

“Pada masa sama, saya turut berasa sedih kerana terpaksa meninggalkan keluarga dan pasukan JDT,” kata Safawi yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sebentar tadi.

SAFAWI bergambar dengan kedua ibu bapanya sebelum berlepas ke Portugal untuk menyertai kelab Portimonense SC di KLIA, Sepang sebentar tadi. – FAISOL MUSTAFA

Portimonense SC yang bersaing dalan liga utama Portugal telah membuka tirai perlawanan pada 19 September lepas dan menghuni tangga ke-15 daripada 18 pasukan.

Sebagai rekod, JDT mengesahkan persetujuan untuk melepaskan pemain kelahiran Terengganu itu ke kelab Portimonense secara pinjaman selepas Pengarah Sukan Harimau Selatan, Martin Prest mendedahkan pihaknya sudah menerima tawaran rasmi pada 25 Ogos lepas.

Jendela perpindahan antarabangsa bakal ditutup secara rasmi pada awal pagi Selasa ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI