fbpx

[VIDEO] Polis rampas syabu RM2.5 juta dalam bungkusan teh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Superintendan Zulkiflee Rashid dan para pegawainya menunjukkan dadah dipercayai syabu yang disorokkan dalam plastik pembungkus teh yang berjaya dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

MELAKA – Polis Melaka menahan tiga lelaki termasuk dua beranak serta merampas dadah jenis syabu dianggarkan seberat 51.8 kilogram bernilai RM2.5 juta dalam dua serbuan berasingan di Johor dan Melaka, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, kesemua syabu yang diisi di dalam 50 pek teh itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan negara jiran.

Menurutnya, aktiviti pengedaran dadah itu didalangi tiga warga tempatan termasuk dua beranak masing-masing berusia 56 dan 27 tahun dan rakan bapanya berusia 49 tahun.

“Dua beranak itu ditahan di kawasan pangsapuri di Klebang Kecil malam Jumaat lalu sebelum pemeriksaan lanjut menemui 50 pek serbuk teh mengandungi dadah dipercayai jenis syabu.

“Kesemua dadah dianggarkan bernilai RM2.5 juta itu disorokkan di dalam dua buah kereta di kawasan parkir pangsapuri berkenaan.

“Seorang lagi suspek berusia 49 tahun yang merupakan rangkaian pengedaran dadah suspek awal ditahan di kawasan parkir rumah di Pontian, Johor,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Zulkiflee berkata, polis turut merampas kereta berkenaan yang dianggarkan bernilai RM45,500.

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati, dua beranak yang ditahan itu masing-masing mempunyai 10 rekod berkaitan dadah selain rakannya turut memiliki rekod kesalahan dadah.

Semua suspek yang didapati positif dadah kini direman seminggu sehingga 2 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI